Powerbank adalah aksesori yang perlu bagi seorang wartawan teknologi terutamanya ketika melakukan tugasan di luar negara. Adalah kebiasaan bagi kami menggunakan sebuah powerbank sebesar 10,000 mAh keran ia boleh mengecas sebuah telefon pintar sekurang-kurangnya dua kali sehari. Namun begitu ia memerlukan masa sehingga empat jam untuk dicas sepenuhnya.
Apollo Max Graphene Power Bank adalah unik kerana bateri sebesar 10,000 mAh boleh dicas semula dalam masa hanya 19 minit. Dengan teknologi litium grafena, proses pengecasan boleh dilakukan lebih pantas berbanding bateri litium-ion biasa. Terdapat dua port pengecasan satu dalam bentuk USB-A dan satu lagi dalam bentuk USB-C.
Format pengecasan pantas yang disokong ialah 18W QuickCharge 3.0, 60W USB-PD dan 27W PPS yang disokong oleh peranti Samsung. Menurut pengeluar, powerbank boleh dicas sehingga 1000 kali sepanjang hayat dan tiga kali ganda lebih baik berbanding hanya 300 kali pada powerbank biasa.
Powerbank ini sedang mengumpul dana menerusi laman biayasama Indiegogo dan boleh dimiliki pada harga bermula RM540 sebuah.