Google Ingin Membanteras Ketagihan Digital Dengan Menawarkan Enam Aplikasi Eksperimental

Google Ingin Membanteras Ketagihan Digital Dengan Menawarkan Enam Aplikasi Eksperimental

Diterbitkan pada Okt 24, 2019 oleh .

Digital Wellbeing diperkenalkan oleh Google bagi membolehkan pengguna memantau penggunaan peranti mereka sekaligus menentang masalah ketagihan digital yang kini dilihat semakin kronik. Anda yang mampu dilakukan Digital Wellbeing ialah mengehadkan masa aplikasi boleh dibuka  dan menukar skrin ke mod monokrom yang terbukti memendekkan penggunaan telefon pintar.

Tetapi ia mungkin masih belum cukup untuk mengurangkan ketagihan digital. Oleh itu Google melancarkan enam aplikasi eksperimental yang boleh dicuba oleh pengguna Android. Enam aplikasi tersebut adalah Unlock Clock, Post Box, We Flip, Paper Phone, Desert Island, dan Morph.

Unlock Clock akan menujukan berapa kali peranti dinyahkunci sehari pada skrin kekunci peranti. Dengan jumlah nyahkunci terpapar dengan jelas di hadapan skrin, pengguna lebih cakna tentang penggunaan peranti dan boleh mengurangkannya mengikut keperluan.

Post Box pula akan hanya memaparkan notifikasi yang diterima pada waktu-waktu tertentu sahaja. Sehingga empat slot sehari boleh digunakan. Kesemua notifikasi akan dipaparkan serentak dalam bentuk grafik yang mudah difahami.

We Flip pula akan mematikan kesemua notifikasi pada pelbagai peranti secara serentak. Ini amat berguna apabila bertemu rakan-rakan di restoran atau di dalam bilik mesyuarat. Notifikasi peranti tidak akan diberikan selagi peranti diletakkan dengan skrin terbalik di atas permukaan meja.

Paper Phone ialah aplikasi yang paling aneh kerana ia membolehkan pengguna mencetak sebuah telefon pintar dalam bentuk kertas. Pengguna memilih aplikasi yang paling perlu untuk kegunaan harian. Data dari aplikasi tersebut akan dicetak dalam bentuk kertas yang kemudiannya dilipat menjadi telefon.

Desert Island ialah memaksa pengguna aplikasi yang paling diperlukan dalam masa 24 jam. Hanya aplikasi ini kemudiannya boleh digunakan dalam tempoh tersebut. Selepas 24 jam, sebuah senarai akan dihasilkan bagi melihat kekerapan aplikasi yang dipilih digunakan. Pengguna kemudian boleh membuang aplikasi yang paling banyak digunakan pada sesi Desert Island seterusnya.

Akhir sekali ialah Morph yang hanya membenarkan aplikasi tertentu digunakan pada waktu dan lokasi terpilih. Sebagai contoh anda mungkin tidak mahu menggunakan Facebook di pejabat tetapi hanya di rumah. Dengan Morph masalah masa dihabiskan pada aplikasi yang membuang masa dapat dihadkan.

Kesemua aplikasi eksperimental ini boleh dicuba pada peranti Android hari ini.



TIPS & ULASAN