Cari @ Amanz

Komputer riba Lenovo ThinkPad X1 Carbon boleh dikatakan komputer riba idaman ramai yang menggunakan komputer riba Windows untuk tugasan pejabat mudah-alih. Ia hadir dengan rekaan minimalis, nipis dan ringan yang membuatkan anda kelihatan seperti seorang profesional yang tahu apa yang anda sedang lakukan.

Terkini, pihak Lenovo Malaysia telah mengemaskini laman web mereka dengan pilihan komputer riba X1 Carbon yang menggunakan CPU Intel generasi kesepuluh yang terbaru.

CPU yang dikatakan ialah cip pemprosesan Intel Core i5-10210U yang mempunyai empat teras, memori LPDDR3 sebanyak 8GB dan storan dalaman SSD PCIe NVMe sebesar 256GB.

Dari segi pilihan I/O, ThinkPad X1 Carbon ini dilengkapi dengan dua palam USB 3.0 Type-A, dua palam Thunderbolt 3 Type-C dan satu palam HDMI 1.4b. Ia juga hadir dengan paparan skrin bersaiz 14.0 inci dengan resolusi Full HD 1920×1080 pixel.

Komputer riba ini boleh dibeli melalui laman web Lenovo Malaysia, dan ia boleh dibeli pada harga RM6899. Dalam pada itu, pembeli komputer riba Lenovo ThinkPad Carbon X1 ini berpeluang memenangi sebanyak 14,000 mata ganjaran Air Asia Big Points, manakala 100 pembeli pertama akan mendapat kredit Touch n Go eWallet sebanyak RM100.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd