Cari @ Amanz

Senjata laser satu ketika dahulu dianggap fiksyen sains yang mustahil wujud di dunia sebenar. Sebagai kanak-kanak 80an, senjata laser kerap dilihat di dalam siri kartun seperti GI Joe. Tiga dekad berlalu dan kini senjata laser telah mula digunakan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF).

USAF telah menerima senjata High-Energy Laser Weapon System (HELWS) yang dibangunkan oleh Raytheon. HELWS diletakkan di atas kenderaan pacuan empat roda bagi tujuan menembak jatuh dron dari memasuki ruang udara pangkalan udara USAF. Dengan menggunakan bateri, sistem HELWS boleh menembak sebanyak sekitar sedozen “peluru laser”. Jika ia ditambat kepada generator pula, ia boleh menembak tanpa had. Dron pula boleh dikesan, dijejak dan ditembak dalam masa beberapa saat sahaja.

Sebelum digunakan pada kereta pacuan empat roda, sistem HELWS juga telah diuji untuk digunakan pada helikopter tempur Apache. Selepas berjaya menawarkan HELWS kepada tentera udara, Raytheon kini cuba memenangi kontrak menghasilkan senjata laser penangkis dron, mortar dan peluru berpandu untuk kereta perisai Stryker.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd