Dua Pertiga Strain Polio Telah Berjaya Dihapuskan Pada Peringkat Global

Dua Pertiga Strain Polio Telah Berjaya Dihapuskan Pada Peringkat Global

Diterbitkan pada Okt 28, 2019 oleh .

Hanya dua generasi terdahulu wabak polio mengakibatkan kematian dan kecacatan kekal kepada penghidapnya. Tetapi pihak WHO minggu lalu telah mengumumkan dua pertiga strain wabak ini telah akhirnya berjaya dihapuskan. Strain wild poliovirus type 3 (WPV3) ialah yang kedua berjaya dihapuskan selepas wild poliovirus type 2 (WPV2) diumumkan berjaya dihapuskan pada tahun 2015.

Kes terakhir wabak polio WPV3 dilaporkan di Yobe, Nigeria pada tahun 2012. Selepas hampir tujuh tahun tiada kes baharu WPV3 dilaporkan, WHO yakin ia kini tidak lagi wujud. Kini hanya wild poliovirus type 1 (WPV1) masih lagi wujud di negara seperti Afghanistan dan Pakistan. Penghapusan wabak ini berjaya dilakukan menerusi program vaksinasi polio pada peringkat global.

Malaysia diumumkan bebas polio sejak tahun 2000 dengan kes terakhir dilaporkan pada tahun 1992. Program Imunisasi Negara sejak 1972 telah berjaya menghapuskan beberapa penyakit berbahaya di negara kita. Malahan pada pembentangan Belanjawan 2020 yang lalu, kerajaan memperuntukkan 60 juta untuk program vaksinasi pneumokokal percuma.

Malang sekali sejak akhir-akhir ini muncul pula pergerakan anti vaksin yang mengakibatkan kematian puluhan kanak-kanak akibat penyakit diphteria.


TIPS & ULASAN