Majoriti peranti mercu sekarang, sudah tidak lagi mempunyai port bicu audio. Perkara ini menjadi trend apabila Apple mula membuang port ini pada iPhone 7 sekitar 3 tahun lalu. Disebabkan ini juga, semakin banyak jenama mengeluarkan set fon telinga nirwayar sebenar (TWS) bagi memudahkan lagi pengguna. Ini juga menjadi trend disebabkan Apple, dengan Apple AirPods. Terdapat banyak TWS di pasaran sekarang, ada yang mahal, ada yang murah, ada yang mengarut dan ada juga yang premium dengan harga jualan yang tidak masuk akal.
Tronsmart adalah adalah satu syarikat yang hadir dengan TWS tersendiri. Dalam artikel ini akan saya ulaskan Tronsmart Spunky Pro, iaitu variasi TWS mereka yang ‘Pro’. Ia bersaiz kecil, ringan, tetapi padat dengan fungsi dan boleh dikatakan hebat. Untuk ketahui hebat mana Spunky Pro ini, baca artikel ini dan anda tentukan jika ianya berbaloi untuk dimiliki atau tidak.
Spesifikasi
Tronsmart Spunky Pro adalah satu set TWS yang baik. Ia padat dengan pelbagai fungsi dan ciri. Jika dibandingkan dengan Spunky sebelum ini, ‘Pro’ adalah jauh lebih baik. Berikut adalah spesifikasinya;
Tronsmart Spunky Pro | |
---|---|
Jenis Bluetooth | Bluetooth 5.0 |
Pemacu Audio | 6mm x 2 |
Bateri | 35mAh Setiap Fon, 400mAh Pod Pengecasan |
Ketahanan | 3.5 Jam Tanpa Pod Pengecas |
Jenis Pengecasan | USB-C, Pengecasan Nirwayar |
Bahan Binaan | Plastik |
Harga | RM149 |
Kualiti Audio
Tronsmart Spunky Pro ini mempunyai kualiti audio yang biasa-biasa sahaja. Kualitinya pada saya adalah seakan Redmi AirDots, tetapi sedikit lebih baik. Jika anda tidak pernah menggunakan Redmi AirDots, Spunky Pro ini sebenarnya mempunyai kualiti audio yang hebat dan memuaskan. Codec audio pada Spunky Pro hanyalah SBC dan AAC, jadi apabila ditambatkan pada iPhone ia mempunyai kualiti yang lebih sedap jika dibandingkan dengan Android. Audio yang keluar dari setiap fon telinga adalah seimbang, vokal yang jelas dan setiap lirik lagu dan instrumen muzik boleh sahaja didengari.
Dari segi bass, ia tidak cukup dalam dan kurang enak didengar. Jadi apabila memainkan muzik dengan penggunaan bass yang banyak, ia kurang mengasyikkan dan boleh rasa apa yang kurang. Bercakap mengenai bass, ia bukan sahaja terhad pada muzik. Apabila bermain permua seperti PUBG Mobile, bunyi tembakan atau letupab kedengaran seperti mercun yang sudah masuk angin. Tidak kira aplikasi muzik apa yang digunakan, baik Spotify atau Tidal dengan tetapan kualiti audio kualiti paling tinggi – setiap muzik yang didengari akan puaskan hati. Ya, bass tidak cukup dalam – tetapi lain-lain baik sahaja. Ini kerana ia kena dengan nisbah harga-ke-prestasi.
Masalah yang ketara adalah apabila bermain permua pada peranti Android. Audio mempunyai sela masa hampir 1 saat. Tetapi video tiada pula masalah, itu adalah perkara mengecewakan pada Spunky Pro. Akan tetapi pada iPhone, sela masa hanya bawah 0.5 saat dan ia boleh diterima. Sela masa pada TWS ini adalah tidak konsisten, yang mana pada saya ia bergantung pada Internet jika audio/video/permua adalah langsung/strim terus.
Bateri
Bateri mengejutkan adalah antara yang terbaik dalam kelasnya. Tronsmart mendakwa ia mampu bertahan sekitar lebih 3 jam jika aras suara adalah 50%. Namun, sepanjang penggunaan saya, aras suara adalah sekitar 70% sehingga 100% dan bateri masih bertahan lama. Letak pula dalam pod pengecasan, ia boleh mengecas sekitar 4-5 kali tanpa sebarang masalah. Bercakap mengenai pengecasan, setiap fon telinga Spunky Pro ini perlu di cas melalui sambungan magnetik dan pod pengecas pula adalah melalui USB-C atau pengecasan nirwayar. Masa pengecasan adalah sekitar 1-2 jam.
Fungsi
Sudah tentu fungsinya adalah untuk mendengar audio! Hahaha, gurau sedikit. Ya, ia berfungsi untuk mendengar audio, tetapi dalam bahagian artikel ini adalah lebih kepada ciri dan fungsi tambahan yang Tronsmart tawarkan pada Spunky Pro ini. Yang pertama adalah kawalan gestur sesentuh yang lancar. Ia juga mempunyai pelbagai kawalan yang menarik dan mudah digunakan. Contohnya, fon telinga kiri tap 2 kali untuk tingkatkan aras suara atau tap 3 kali untuk rendahkan aras suara.
Kemudian, tap 2/3 kali pada fon telinga kanan untuk langkau atau kembali ke muzik. Dengan tap & tahan selama 2 saat pada mana-mana fon telinga, pembantu digital boleh diseru dan banyak lagi kawalan lain. Tronsmart Spunky Pro turut mempunyai tambatan automatik, selepas kali pertama ia ditambat. Ini bermakna, selesai mendengar dan disimpan dalam pod pengecas – apabila ia dikeluarkan semula tambatan akan berlaku dengan pantas secara automatik. Akhir sekali adalah perlindungan IPX5, jadi ia sesuai untuk digunakan ketika bersenam, suasana hujan dan sebagainya.
Rekaan
Rekaan pod pengecas Spunky Pro ini adalah seakan pak hoki yang sedikit lebih membonjol. Pada bahagian atas, iaitu penutupnya, ia mempunyai corak bercatur. Bahagian sisi dan di bawah adalah kosong sahaja, warna yang saya gunakan adalah hitam dan ia adalah plastik. Kemasan pula adalah jenis berkilat dan licin, jadi ia mudah menangkap kotoran cap jari dan juga calar. Terdapat port USB-C pada bahagian belakang dan di hadapan terdapat satu butang untuk membuka pod pengecasan ini.
Sebaik sahaja penutup dibuka, di dalamnya akan terpapar dua fon telinga yang mempunyai rekaan yang sama – iaitu bercatur. Keluarkan kedua-dua fon telinga akan menampakkan ruang pengecasan bersama port magnetik. Pada fon telimga, ia mempunyai rekaan yang ringkas, kecil, kompak dan bahagian untuk disumbat ke telinga adalah sedikit kurus dan memanjang. Terdapat indikasi L atau R serta bahagian magnetik untuk pengecasan. Getah yang digunakan untuk masuk ke dalam telinga adalah jenis yang biasa-biasa sahaja.
Oh ya, terdapat juga lampu LED pada setiap fon telinga dan pada pod pengecasan. Pada fon telinga adalah indikasi untuk mengecas, menambat dan bateri lemah. Manakala pada pod pengecas adalah untuk bateri sahaja. Rekaannya bukannya istimewa atau unik, tetapi cukup baik.
Kesimpulan
Tronsmart Spunky Pro tidak dinafikan adalah set fon telinga nirwayar sebenar yang baik. Ia mempunyai kualiti audio yang sedap, jelas, vokal yang enak diengari dan bass yang ok-ok sahaja walaupun tidak cukup dalam. Tidak lupa juga, terdapat sokongan pengecasan nirwayar dan USB-C pada Spunky Pro ini dan ianya adalah satu fungsi tambahan yang memuaskan. Harga jualan pula adalah RM149 sahaja, ia boleh dibeli di Shopee secara rasmi. Secara keseluruhan, Spunky Pro adalah seakan Redmi AirDots tetapi dengan lebih banyak fungsi.
- Muat Turun
- Beli Tronsmart Spunky Pro Di Shopee
KELEBIHAN | KEKURANGAN |
|
|