Cari @ Amanz

“Slofie” adalah terma untuk “slow” dan “selfie”, iaitu rakaman gerak perlahan melalui kamera swafoto. Fungsi dan terma ini digunakan oleh Apple pada iPhone 11 dan nama “slofie” turut difailkan untuk tanda dagang, agar jenama lain tidak boleh menggunakannya. Walaupun ia bukanlah satu fungsi yang diminta oleh pengguna, tetapi agak seronok untuk melihat kehadiran fungsi tambahan.

Terkini, pada kemaskini terbaru Samsung Galaxy S10 (Android Pie) – Samsung telah menambah sokongan slofie ini. Namanya dikekalkan dengan Slow Motion, yang mana apabila bahagian ini dibuka akan ada pilihan untuk tukar ke kamera swafoto dan tidak lagi terhad dengan kamera belakang sahaja. Menurut SamMobile, fungsi ini sepatutnya hadir bersama-sama dengan OneUI 2.0 berasaskan Android 10 – tapi nampaknya sistem operasi baru ini lambat lagi untuk tiba jadi Samsung beri terlebih dahulu kepada pengguna sedikit lebih awal.

Selain itu, Samsung turut menambah fungsi Auto Hotspot. Fungsi ini juga mirip dengan Apple, yang mana apabila dua peranti Samsung dengan akaun Samsung yang sama akan terhubung kepada rangkaian Internet salah satu peranti melalui Hotspot. Kedua-dua kemaskini ini dilihat hanya tiba kepada pengguna di Switzerland dan Jerman sahaja. Pengguna Malaysia berkemungkinan perlu tunggu sedikit lebih lama sebelum ia hadir secara OTA.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd