WhatsApp Menyaman Firma Israel Yang Menghasilkan Perisian Hasad Mengintip Pengguna

WhatsApp Menyaman Firma Israel Yang Menghasilkan Perisian Hasad Mengintip Pengguna

Diterbitkan pada Okt 30, 2019 oleh .

WhatsApp hari ini memfailkan saman ke atas firma NSO Group yang berpangkalan di Israel yang menghasilkan perisian hasad Pegasus yang didakwa digunakan untuk mengintip aktiviti pengguna. Seperti yang kami laporkan Mac lalu, Pegasus dipercayai digunakan untuk mengintip aktiviti wartawan serta peguam hak asasi manusia di Mexico dan Arab Saudi.

WhatsApp mendakwa mereka mempunyai bukti penglibatan NSO dalam 1400 serangan ke atas peranti setakat ini. Saman difailkan kerana NSO melanggar undang-undang di bawah Akta Penipuan dan Penyalahgunaan Komputer AS. WhatsApp ingin meminta bayaran ganti rugi dan arahan mahkamah dikenakan ke atas NSO untuk tidak mengulangi aktiviti yang sama.

Pihak NSO telah mengeluarkan kenyataan rasmi menyangkal dakwaan yang WhatsApp. Menurut mereka perisian yang dihasilkan hanya digunakan untuk tujuan anti keganasan dan membanteras jenayah oleh pihak berkuasa.

Perisian hasad Pegasus yang dibangunkan oleh NSO Group membolehkan peranti pengguna diintip. Amat merisaukan ia boleh dipasang tanpa pengguna mengangkat panggilan suara di dalam WhatsApp. Log panggilan ini juga tidak dapat dilihat pada peranti penerima. Kerentanan panggilan suara WhatsApp ini melibatkan kedua-dua platform Android dan iOS.

Pegasus membolehkan kamera dan mikrofon peranti diaktifkan bagi membolehkan intipan. Selain itu ia turut boleh membaca emel, mesej serta data lokasi peranti pengguna. Kewujudan kerentanan sekuriti yang serius ini disedari oleh WhatsApp pada awal tahun ini.


TIPS & ULASAN