Awal tahun ini, di acara Acer Global Press Conference di New York dan Berlin, Acer telah melancarkan siri komputer riba terbaru yang memfokuskan kepada golongan profesional kreatif yang dinamakan ConceptD.
Siri ConceptD ini mengambil ilham daripada komputer riba gaming sedia ada mereka, dimana rekaan dan spesifikasinya diubah sedikit untuk menghasilkan komputer riba yang lebih sesuai untuk golongan kreatif.
Model-model yang dibawa masuk ke pasaran tempatan termasuklah ConceptD 9 Pro, ConceptD 7 dan 7 Pro, Concept D 5 Pro dan juga ConceptD 3 Pro.
Bermula dengan ConceptD 9 Pro, rekaan komputer riba ini berasaskan Predator Triton 900 dan hadir dengan spesifikasi asas Intel Core i7-9750H, memori DDR4 sebanyak 32GB dan storan SSD sebesar 1TB.
Menguasakan paparan 17.3 inci dengan resolusi UHD komputer riba ini ialah kad grafik NVIDIA Quadro RTX5000. Paparan skrin ini juga hadir dengan Delta E < 1 yang memastikan kualiti warna komputer riba ini kekal jitu.
ConceptD 7 dan 7 Pro pula adalah untuk mereka yang mahu sebuah komputer riba yang tidak begitu besar, tetapi masih inginkan kebolehan untuk mengolah rekaan yang berkuasa.
Kedua-dua komputer riba ini dilengkapi CPU Intel Core i7-9750H, memori DDR4 sebanyak 16GB dan storan SSD sebanyak 512GB.
Dari segi pilihan kad grafik, ConceptD 7 Pro boleh digabungkan dengan NVIDIA Quadro RTX 5000 ataupun NVIDIA Quadro RTX 3000, manakala ConceptD 7 dilengkapi dengan NVIDIA GeForce RTX 2060. Dalam pada itu, paparan komputer riba ini bersaiz 15.6 inci dengan resolusi UHD, dan mempunyai nilai delta E < 2.
Beralih kepada ConceptD 5 Pro, siri komputer riba ini adalah untuk mereka yang memerlukan fleksibiliti dari segi saiz paparan dan spesifikasi yang membolehkan mereka melakukan tugas-tugas tertentu.
Sama seperti komputer-komputer riba ConceptD yang lain, komputer riba ini dilengkapi dengan CPU Intel Core i7-9750H, memori DDR4 sebanyak 16GB dan storan SSD sebanyak 512GB.
Pengguna boleh memilih untuk mendapatkan model dengan paparan bersaiz 17.3 inci ataupun 15.6 inci yang mempunyai resolusi UHD dengan nilai Delta E < 2. ConceptD 5 Pro ini juga hadir dengan pilihan untuk kad grafik NVIDIA Quadro RTX 3000 ataupun NVIDIA Quadro T1000.
Akhir sekali, komputer riba ConceptD 3 Pro sangat sesuai untuk golongan jurugambar profesional yang inginkan sebuah laptop yang nipis dan mudah dibawa kemana-mana.
Dengan ketebalan 23.4mm sahaja, komputer riba ini mempunyai paparan bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD. Ia dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-9750H, memori DDR4 sebanyak 16GB dan storan SSD sebanyak 512GB. Ia juga hadir dengan kad grafik NVIDIA Quadro T1000.
Kesemua model-model ConceptD Pro ini sudahpun hadir untuk pasaran tempatan, tetapi untuk membelinya, anda harus menempahnya terlebih dahulu melalui Acer Malaysia.
Tanda harga untuk komputer-komputer riba ini adalah seperti berikut:
- ConceptD 9 Pro (Quadro RTX 5000) – Bermula dari RM18,999
- ConceptD 7 Pro (Quadro RTX 3000) – Bermula dari RM8699
- ConceptD 7 (GeForce (RTX 2060) – Bermula dari RM9999
- ConceptD 5 Pro (Quadro T1000) – Bermula dari RM6999
- ConceptD 3 Pro (Quadro T1000) – Bermula dari RM5999