Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC) hari ini telah melancarkan Simposium Keushawanan Nasional atau dikenali sebagai E-Nation. Ia merupakan satu program yang dianjurkan oleh MaGIC dalam usaha untuk membentuk masyarakat keusahawanan di Malaysia. Simposium ini berlangsung selama 4 hari yang mana ia akan menghubungkan bakal-bakal usahawan dengan para usahawan yang berpengalaman, penggiat ekosistem berpengaruh, pemimpin industri sekaligus dapat bertukar pendapat dan ilmu sesama mereka.
Sepanjang 4 hari simposium ini berlangsung, terdapat pameran kerjaya dan ruang untuk para usahawan mempamerkan produk-produk, servis serta penyelesaian inovasi mereka. Dalam masa yang sama, mereka turut merekrut calon-calon yang sedang mencari kerja dan berpotensi. Bukan itu sahaja, Kejohanan Bergerak PUBG, Kejohanan Liga Legend Mobile dan pameran perdagangan ‘Buy for Impact” juga turut akan diadakan pada hari terakhir E-Nation ini berlangsung.
MaGIC juga menyasarkan untuk memupuk perbualan secara mendalam mengenai pelbagai teknologi baru, idea idea keusahawanan baru, usaha sedar impak, cabaran dan peluang masa depan berkhususkan industri serta kerjasama para usahawan dalam menyelesaikan pelbagai masalah dengan pendekatan yang kreatif dan berinovatif. Jadi, dengan membawakan tema “Membentuk Negara Keusahawanan”, MaGIC telah menjemput para usahawan berjaya dalam pelbagai bidang untuk berkongsi tentang pengalaman dan ilmu-ilmu keusahawanan mereka.
Selaras dengan usaha Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan menjelang 2030, simposium E-Nation ini mempunyai objektif yang terdiri daripada empat perkara. Empat perkara tersebut adalah: 1) untuk menghubungi penggerak dan pembina ekosistem yang berpengaruh untuk memudahkan pertukaran idea, menggalakkan kerjasama serta memupuk peluang rangkaian; 2) untuk menyerlahkan inisiatif keusahawanan terbaru; 3) untuk mengumpul usahawan-usahawan dan penceramah-penceramah yang berpengaruh bagi menjana dan menyampaikan pengetahuan dan maklumat yang bernas kepada peserta dalam bidang inovasi sosial, pendidikan keusahawanan, pelaburan impak; serta 4) untuk mempromosikan konsep inovasi sosial dan tanggungjawab sosial untuk menggalakkan penggunaan dan pemahaman konsep keusahawanan secara sedar.
Tiga memorandum persefahaman berasingan juga turut ditandatangani oleh MaGIC. Memorandum ini bertujuan bagi memupuk semangat kerjasama antara semua pihak dalam mencipta kandungan pendidikan di bidang pelaburan impak, serta berkongsi kaedah terbaik mengenai keusahawanan dan bekerjasama dalam bidang kreativiti, inovasi, keusahawanan serta keusahawanan sosial. Antara yang turut terlibat adalah Citrine Capital untuk Pelaburan Impak, Genasthim mengenai BCORP, dan Universiti Heriot-Watt untuk Bangunan Komuniti Keusahawanan.
Menurut MaGIC, mereka menjangkakan bahawa simposium E-Nation kali ini akan dihadiri oleh lebih daripada 2000 peserta dan ia terbahagi kepada 6 kategori, iaitu : 1) positif; 2) inovasi korporat; 3) pendidikan; 4) keusahawanan; 5) dasar dan polisi; dan 6) keusahawanan sosial. Malah, program ini juga turut dihadiri oleh penceramah tempatan dan antarabangsa yang terkenal, seperti Dato’ Norman Abdul Halim dari KRU Studios, Tristan Ace dari British Council, Ariz’ Caprice ‘Ramli Caprice Technologies, Oliver Legrand dari LinkedIn Asia Pacific dan banyak lagi.
- Info
- Layari: Laman Rasmi MaGIC Untuk Maklumat Lanjut E-Nation