Cari @ Amanz

Sejak berdekad lamanya, setiap kali kita pergi ke pusat membeli belah tiket akan diambil setibanya di tempat parkir. Kerap kali juga berlaku kehilangan tiket yang menyebabkan denda yang besar perlu dibayar. Pada waktu yang sama kadang kala mesin enggan menerima wang kertas sehingga sukar membuat pembayaran. Masalah ini tidak akan berlaku sekiranya anda ke Sunway City.

Pusat membeli belah yang ke-21 terbesar di dunia akan menggunakan sistem Sunway Smart Parking pada suku pertama 2020. Semalam pihak Sunway telah mengadakan acara prebiu sistem baharu yang bukan sahaja menyokong pelbagai dompet digital tetapi juga adalah nirtiket sepenuhnya.

Sistem kamera akan membaca nombor pendaftaran kenderaan sebelum membuka palang parkir. Sebelum keluar pemilik kenderaan boleh membayar menggunakan dompet digital GrabPay, Boost, WeChat Pay, Alipay, Touch N’ Go Digital, dan Maybank QR. Terdapat juga sokongabn kad kredit MasterCard, Visa, American Express, JCB, UnionPay, dan MyDebit. Pengguna hanya perlu mendaftarkan kenderaan ke portal parkir Sunway. Jika kenderaan tidak didaftarkan, pengguna masih boleh menggunakan kad Touch N’Go.

Sistem ini hanya dibuka kepada kenderaan yang membayar pas bulanan di Sunway Pyramid, Sunway Hotels dan Menara Sunway sahaja buat masa ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd