Peranti boleh lipat buat masa ini masih tidak relevan lagi. Akan tetapi, itu tidak bermakna ianya satu kegagalan dan ia tidak menghalang dari para pengeluar menghasilkan variasi baharu yang lebih baik. Contoh Samsung yang telah pun memperlihatkan rekaan Galaxy Fold baharu mereka baru-baru ini.
Sharp, iaitu syarikat dari Jepun turut telah mempatenkan lima jenis peranti boleh lipat serba baharu. Salah satunya adalah seakan jam tangan yang mana skrinnya boleh gulung. Yang pertama, adalah seakan peranti flip biasa. Skrin dilipat ke dalam dan apabila dilipat ia mempunyai bentuk petak. Yang kedua pula adalah, rekaan boleh lipat separa – juga dalam bentuk flip dan skrinnya dilipat ke dalam juga.
Rekaan yang ketiga juga adalah jenis flip dan dilipat ke dalam skrinnya. Tetapi ia adalah yang paling janggal, kerana terdapat slot untuk kad kredit di bahagian atas. Rekaan keempat adalah yang paling unik dan menarik. Ia adalah skrin boleh gulung dan berbentuk seakan jam tangan pintar. Akan tetapi skrin bahagian atas akan terjongket sedikit bagi memberi ruang kepada earpiece dan sensor.
Akhir sekali adalah peranti gaming boleh lipat. Ia kelihatan seakan peranti yang perlu dilipat ke dalam, yang mana dua skrin bahagian hujung boleh digunakan sebagai alat kawalan untuk permainan video. Kesemua rekaan ini adalah paten sahaja dan ia mungkin akan terus dilupakan atau terkubur di dalam arkib. Tetapi dengan kejayaan Galaxy Fold, ada kemungkinan ia akan diteruskan dan mungkin lebih baik.