Be Free Phone Ialah Telefon Pintar Yang Ditawarkan Percuma Dengan Pelan Data

Be Free Phone Ialah Telefon Pintar Yang Ditawarkan Percuma Dengan Pelan Data

Diterbitkan pada Okt 31, 2019 oleh .

Di dalam filem Kingsman The Secret Service, watak antagonis menawarkan telefon pintar yang lengkap dengan data secara percuma kepada pengguna global. Ini adalah bagi membolehkan beliau kemudian mengaktifkan sistem kawalan minda yang menyebabkan pengguna berbunuhan sesama mereka. Filem ini mungkin fiksyen tetapi telefon pintar percuma lengkap dengan data kini sudah menjadi realiti.

Be Free Phone ialah telefon tersebut dan ianya ditawarkan oleh firma AIRO.LIFE. Ia boleh ditawarkan secara percuma kerana bahagian atas skrin akan sentiasa memaparkan iklan yang disasarkan terus kepada pengguna. Spesifikasi Be Free Phone yang diketahui setakat ini ialah skrin 6.2″ FHD+, memori 4GB RAM, storan 128GB, kamera utama 16MP, kamera swafoto 5MP dan bateri sebesar 4800 mAh. Sistem operasi Android Pie digunakan.

Jadi mengapakah telefon pintar ini dihasilkan? Mengikut pengeluar mereka menyedari pelan telefon mudah alih di Amerika adalah mahal. Ini meningkatkan kos sara hidup kebanyakan pengguna. Dengan menawarkan telefon lengkap dengan perkhidmatan selular secara percuma, pengguna tidak perlu risau untuk membayar bil.

Apa yang dilakukan oleh AIRO.LIFE ini sebenarnya tidak unik. Di India JioPhone ditawarkan “percuma” kepada pelanggan yang hanya perlu membayar deposit sekitar RM80. Xiaomi juga mensubsidi harga jualan peranti di India dengan memaparkan iklan pada bahagian atas peranti. Adakah anda sanggup menggunakan peranti percuma seperti ini dengan iklan yang dipaparkan sepanjang masa?


TIPS & ULASAN