Carian
Acer / AMD
Pandang Pertama CPU AMD Ryzen 5 3500U Melalui Acer Swift 3 – Adakah Ia Pilihan Yang Berbaloi?
November 5, 2019 Nazrin

Apabila bercakap mengenai komputer riba, pilihan pengguna dari segi cip pemprosesan komputer secara lazimnya terhad hanya kepada CPU daripada Intel.

Tidak salah jika kami katakan bahawa dari segi bahagian pasaran, Intel memegang hampir 100 peratus daripada pasaran CPU komputer riba pengguna hari ini.

AMD ialah pencabar terdekat Intel di arena CPU komputer desktop, dan kini, mereka nampaknya sudah bersedia untuk memasuki arena komputer riba pula dengan siri CPU mereka tersendiri.

Acer Swift 3

Untuk pandang pertama ini, kami diberi komputer riba Acer Swift 3 oleh pihak AMD Malaysia, yang dimuatkan dengan CPU AMD Ryzen 5 3500U dengan cip pemprosesan grafik AMD Radeon Vega 8.

Tujuan pandang pertama ini ialah untuk melihat samada pilihan CPU ini cukup berkuasa untuk kami menjalankan tugas-tugas harian di Amanz, seperti membawanya ke acara-acara pelancaran produk, menulis laporan harian dan sebagainya. Oleh kerana model ini turut hadir dengan cip pemprosesan grafik gaming, kami juga akan menguji sedikit kebolehan gaming komputer riba ini.

Bermula dengan spesifikasi dalaman, seperti yang kami katakan sebelum ini, ia dilengkapi dengan CPU AMD Ryzen 5 3500U, memori DDR4 sebanyak 4GB, dan storan SSD sebesar 256GB. Dari segi cip pemprosesan grafik pula, ia hadir dengan cip pemprosesan grafik AMD Radeon Vega 8.

Bercakap mengenai CPU ini, Ryzen 5 3500U ini, dari segi spesifikasinya sendiri, ia hadir dengan empat teras fizikal dan lapan bebenang kuasa, dengan kelajuan asas 2.1GHz dan Turbo Clock sehingga 3.4GHz.

Dari segi GPU pula, Radeon Vega 8 ini hadir dengan 512 shader unit, 32 unit pemetaan tekstur dan mempunyai kelajuan asas 300MHz dan boleh digerakkan sehingga 1100MHz.

Pengalaman Pengguna

Gabungan CPU dan GPU ini dimuatkan didalam rangka Acer Swift 3 yang hadir dengan paparan skrin bersaiz 14 inci dengan resolusi Full HD. Jika anda musykil jika ada perbezaan diantara model yang dikuasakan oleh CPU AMD dan Intel, pada mulanya apabila kami menyahkotak komputer riba ini, kami berpendapat bahawa terdapat perbezaan berat yang boleh dirasakan pada komputer riba ini.

Apabila kami melihat kembali laman spesifikasi kedua-dua model ini, Acer Swift 3 yang dikuasakan oleh AMD adalah beberapa ratus gram lebih berat daripada model yang dikuasakan oleh Intel. Ketebalan Acer Swift 3 dengan CPU AMD pula adalah 3-4mm lebih tinggi berbanding model yang dikuasakan Intel.

Pada firasat kami, ini mungkin kerana CPU dan GPU AMD memerlukan sistem penyejukan yang lebih tahan lasak, ataupun saiz kedua-dua komponen ini yang lebih besar daripada pilihan Intel.

Dari segi spesifikasi kertas, perbezaan ini boleh dikatakan remeh, tetapi jika anda dapat memegang kedua-dua model, perbezaan dari segi berat khususnya boleh dirasakan dengan jelas.

Walaupun begitu, komputer riba ini masih boleh dikatakan sebagai sebuah mesin produktiviti yang padat dan boleh dibawa kemana-mana.

Acer Swift 3 dengan CPU dan GPU AMD ini dipinjamkan kepada kami selama seminggu oleh pihak AMD untuk menguji sedikit sebanyak kebolehannya sebagai sebuah komputer riba padat yang sesuai untuk tugasan produktiviti yang boleh dibawa kemana-mana.

Produktiviti

Boleh saya katakan bahawa dari segi produktiviti, Acer Swift 3 dengan CPU AMD Ryzen 5 3500U ini mempunyai kemampuan yang setara dengan pilihan model CPU Intel Core i5. Dari segi startup sistem operasi mahupun perisian, boleh saya katakan tiada sela-masa yang jelas dapat dilihat melalui model dengan CPU AMD ini.

Pelayar web pilihan saya untuk komputer riba ini ialah Microsoft Edge, khususnya kerana komputer riba ini hanya dilengkapi dengan memori DDR4 sebanyak 4GB, dan saya meminimakan penggunaan perisian parti ketiga sebanyak mungkin.

Boleh saya katakan bahawa masa singkat saya bersama komputer riba ini, saya dapat jalankan pelbagai tugas-tugas seperti menulis laporan harian, rangkuman acara pelancaran dan ulasan ini sendiri tanpa masalah yang begitu besar.

Saya boleh membuka sekitar 10-15 laman web secara lancar tanpa perlu risau mengenai laman-laman web tersebut disegar semula secara paksaan kerana kekurangan memori.

Lebih menarik lagi ialah jangkahayat bateri komputer riba ini. Dengan satu pengecasan penuh, ia boleh bertahan selama 7-8 jam dengan tugas-tugas seperti mengedit teks, gambar, dan juga menonton video. Tetapan yang saya gunakan untuk mendapatkan jangkahayat bateri ini hanyalah menggunakan tetapan kuasa Balanced dan juga kecerahan paparan pada kadar 40 peratus.

 

Tiada juga masalah dari segi pengeluaran haba apabila melakukan tugasan produktiviti harian. Saya boleh menggunakan komputer riba ini diatas riba saya tanpa masalah.

Gaming

Selain daripada melakukan tugasan di pejabat, dengan komputer riba ini yang dikuasakan oleh cip pemprosesan grafik AMD Radeon Vega 8, anda juga boleh memainkan beberapa permainan komputer yang tidak begitu kompleks.

Saya sempat menguji kebolehan gaming komputer riba ini dengan permainan Diablo 3 pada resolusi 720p, dan boleh saya katakan bahawa komputer riba ini boleh menggerakkannya pada resolusi tersebut tanpa masalah sela masa.

Secara purata, saya dapat menggerakkan permainan tersebut pada kadar segar semula 50-60FPS tanpa isu, dan lebih menarik lagi, komputer riba ini tidak menjadi terlalu panas apabila memainkan permainan tersebut.

Saya pasti jika anda mengubahsuai tetapan grafik beberapa permainan seperti DoTA 2, League of Legends dan permainan-permainan seakannya. anda juga akan dapat menggerakkannya pada kadar segar semula yang boleh dimainkan.

Penutup

Persepsi lama bahawa komputer riba yang dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD tidak setaraf dengan Intel boleh saya katakan sudah tidak lagi benar dengan CPU AMD terbaru.

AMD kini ialah sebuah jenama yang telah diberikan nafas baru dimana mereka semakin mendominasi pasaran komputer desktop, dan jika siri CPU ini boleh dijadikan penanda-aras kemajuan mereka, mereka bakal memberikan saingan hangat kepada Intel didalam pasaran komputer riba juga.

Secara teknikalnya, Acer Malaysia tidak membawa masuk komputer riba Acer Swift 3 secara rasmi, tetapi anda boleh membelinya melalui kedai-kedai atas talian seperti Tech Hypermart pada harga yang sangat mampu-milik.

Komen