Cari @ Amanz

Apple TV+ secara rasmi boleh distrim oleh pengguna di 100 negara secara serentak termasuk Malaysia. Dengan semakin banyak perkhidmatan penstriman video ditawarkan, pasti ramai tertanya-tanya sama Apple TV+ berbaloi untuk dilanggan pada waktu ini? Artikel ini diharap dapat menjawab beberapa persoalan yang mungkin ingin anda ketahui mengenai Apple TV+

Kandungan

Pada waktu ini hanya terdapat lapan rancangan yang boleh distrim oleh pelanggan iaitu The Morning Show, See, For All Mankind, Dickinson, The Elephant Queen, Helpsters, Ghostwriter dan Snoopy in Space. Jumlah kandungan hari pertama adalah amat kecil jika dibandingkan dengan penawaran dari Netflix, iFlix dan Amazon Prime. Malahan The Elephant Queen hanyalah sebuah dokumentari bukannya siri TV.

Sejurus selepas melanggan, anda hanya boleh menonton tiga episod pertama sahaja dalam tempoh percubaan percuma selama 7 hari. Selepas tempoh tersebut satu episod baharu akan diberikan secara mingguan. Berikut ialah jumlah episod untuk setiap siri.

  1. The Morning Show – 11 Episod
  2. See – 8 Episod
  3. For All Mankind – 11 Episod
  4. Dickinson – 11 Episod
  5. Helpsters – 6 Episod
  6. Ghostwriter – 26 Episod
  7. Snoopy In Space – 12 Episod

Kandungan Tempatan

Sifar. Tiada langsung kandungan yang menyasarkan pengguna yang tidak berbahasa selain Bahasa Inggeris. Jika kandungan tempatan penting bagi anda iFlix dan Viu adalah pilihan yang lebih bijak.

Aplikasi

Apple TV+ boleh digunakan pada iPhone, iPad, iPod Touch, Mac, PC, Apple TV, Roku dan beberapa model televisyen pintar. Pada waktu ini tiada penawaran aplikasi pada peranti Android , Android TV atau konsol permainan video popular. Televisyen pintar yang disokong secara rasmi juga terhad kepada yang dihasilkan oleh Samsung dan LG yang menyokong sistem lontaran AirPlay 2

Antaramuka Apple TV+ pada kesemua peranti yang disenaraikan adalah seragam tetapi berserabut. Untuk mengakses Apple TV+, pengguna perlu membuka laman Apple TV yang juga merupakan portal membeli atau menyewa pelbagai siri TV serta filem Apple. Kerap kali kandungan Apple TV dipaparkan dengan lebih jelas berbanding Apple TV+.

Kami merasakan Apple seharusnya mewujudkan sebuah tab khusus untuk Apple TV+ sahaja. Oleh itu pelanggan akan dapat terus melompat ke kandungan yang ingin ditonton tanpa perlu menatal beberapa kali bagi mencari kandungan. Ini adalah perlu bagi memudahkan pencarian kandungan di masa hadapan.

Kami juga menyedari aplikasi Apple TV+ tidak selancar aplikasi pesaing seperti Netflix dan iFlix. Kandungan mengambil masa sesaat untuk dipaparkan walaupun ketika menggunakan WiFi berkelajuan tinggi. Adalah tidak masuk akal Apple gagal menghasilkan aplikasi yang pantas pada tahun 2019 kerana kelancaran kini adalah antara aspek paling penting aplikasi.

Pemain video Apple TV+ juga harus menerima kritikan dengan elemen kawalan video yang kecil. Sukar menekan elemen-elemen ini pada iPhone misalnya. Fungsi melangkau intro yang kini adalah standard dan perlu juga tidak disertakan mungkin kerana ia adalah harta intelek yang dipegang Netflix.

Lontaran Kandungan

Apple TV+ hanya menyokong lontaran (casting) ke peranti yang menyokong AirPlay 2. Tiada sokongan Chromecast yang disokong pada majoriti televisyen pintar. Jumlah televisyen yang menyokong AirPlay 2 pada waktu ini amatlah terhad kepada LG dan Samsung sahaja. Jadi untuk menikmati Apple TV+, anda perlu mengemaskini TV pintar anda atau membeli Apple TV bagi menyokong lontaran kandungan yang ingin ditonton.

Kandungan 4K HDR Dan Audio

Kesemua kandungan siri Apple TV+ ditawarkan dalam resolusi 4K lengkap dengan sokongan HDR Dolby Vision dan audio Dolby Atmos. Sekiranya anda mempunyai TV 4K dan sistem audio yang menyokong kedua-dua format ini anda tidak akan kecewa dengan perkhidmatan Apple. Sungguhpun begitu jumlah kandungan 4K HDR mereka masih lebih kecil berbanding Amazon Prime dan Netflix.

Muat Turun Video

Kesemua kandungan boleh dimuat turun bagi tontonan di luar talian. Sokongan ini diberikan kepada iPhone, iPad, iPod touch, dan Mac sahaja pada waktu ini. Sungguhpun begitu saiz muat turun adalah agak besar. Secara purata saiz satu episod siri TV ialah sekitar 4GB. Anda perlu memastikan terdapat storan yang mencukupi pada peranti. Apple TV+ tidak menawarkan pilihan saiz muat turun seperti pada perkhidmatan penstriman video yang lain.

Sokongan Untuk Pengguna OKU

Apple TV+ amat inklusif kepada pengguna dari golongan OKU pendengaran dan penglihatan. Kesemua kandungan hadir dengan sokongan deskripsi audio dan sari kata dengan closed captioning. Ketika artikel ditulis hanya bahasa Inggeris, Perancis, Itali, Jepun, Jerman, Portugis, Sepanyol dan Sepanyol Amerika Selatan disokong.

Bagi pengguna tempatan, OKU pendengaran hanya sekadar boleh menggunakan sari kata Bahasa Melayu dan Indonesia sahaja. Masih tiada sokongan deskripsi audio buat masa ini.

Harga Langganan Berbanding Pesaing

Harga langganan bulanan Apple TV+ ialah RM 19.90 atau RM199.90 selama setahun. Berita baik bagi pengguna tegar produk Apple, anda boleh menerima langganan setahun percuma sekiranya anda membeli produk baharu selepas 1 September. Tetapi jika anda tidak menerima langganan percuma selama setahun berikut ialah harga langganan bulanan perkhidmatan pestriman video pesaing di Malaysia.

  • Apple TV+ – RM19.90 sebulan/RM199.90 setahun
  • Dimsum – RM14.90
  • Amazon Prime – RM25
  • Netflix – dari RM17 sebulan
  • Mubi – RM15
  • Viu – RM10
  • iFlix  – RM10 sebulan/RM96 setahun

Jadi Berbaloi Atau Tidak?

Pada waktu ini sukar untuk menyarankan Apple TV+ kepada majoriti pengguna. Penawaran kandungan dan sokongan peranti adalah amat terhad. Dari apa yang kami lihat setakat ini, Apple TV+ masih lagi sedang belajar bertatih sedangkan pesaing sudah berlari pantas. Kami secar peribadi hanya merasakan For All Mankind berbaloi untuk ditonton kerana menyukai kandungan fiksyen yang berpijak di dunia nyata. Penawaran percuma selama setahun kepada pengguna produk Apple mungkin akan dijadikan sebagai ujian mengumpul maklum balas dan melihat genre kandungan manakah yang perlu ditawarkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd