Selama ini apabila menyebutkan mengenai lakaran, pastinya banyak aplikasi yang menjadi pilihan anda. Untuk pengguna iPad, pastinya sudah biasa dan juga mengenali akan adanya Adobe Fresco. Jika anda tidak mempunyai iPad, Adobe pada acara Adobe Max harini telahpun mengumumkan Adobe Fresco untuk platform Windows.
Adobe Fresco merupakan aplikasi memfokuskan kepada penghasilan lakaran, dan berbeza daripada Illustrator. Ini kerana lakaran yang dihasilkan Illustrator adalah lebih bersifat kepada penghasilan grafik vektor. Berbeza dengan Fresco yang lebih mempunyai penekanan kepada perkakasan seperti Brush, dan memudahkan pengguna mewarnakan lukisan tersebut.
Fungsi-fungsi seperti Live Brush yang menyokong kesan khas seolah-olah mewarna diatas kanvas menggunakan warna air, percampuran warna tersebut dengan warna lain secara masa nyata, sekaligus memberikan kelebihan pada Fresco berbanding yang lain. Dan ia turut menyokong integrasi penuh dengan Photoshop, membolehkan lakaran dibawa masuk kepada aplikasi tersebut.
Malah bagi menggalakkan karyawan berkongsi hasil lakaran mereka, terdapat fungsi untuk merakam time-lapse yang boleh dikongsikan terus kepada platform perkongsian seperti YouTube dan juga Facebook. Adobe turut merancang untuk membawakan penstriman langsung secara terbina terus dari aplikasi ini.
Aplikasi ini akan hadir untuk peranti Windows Surface dan juga peranti lakaran Wacom Mobile Studio. Sekiranya iPad bukan pilihan anda, kedua-dua jenis tablet yang beroperasi menggunakan Windows boleh menjadi pilihan anda. Ia ditawarkan percuma kepada pelanggan Adobe Creative Cloud, atau dengan bayaran sebanyak 9.99 USD sekiranya pengguna tidak melanggan perkhidmatan tersebut.