Cari @ Amanz

Setelah pelbagai gambar acah sebelum ini, hari ini pihak Xiaomi telah pun melancarkan telefon pintar yang dinantikan ramai, iaitu Xiaomi Mi CC9 Pro. Menjadi fokus pada telefon pintar ini adalah keupayaan kameranya, dimana ia hadir dengan lima kamera pada bahagian belakang, dengan kamera utamanya adalah sensor 108-megapixel daripada Samsung.

Xiaomi Mi CC9 Pro mennggunakan skrin 6.47-inci Super AMOLED, dijana cip Snapdragon 730G, dan menawarkan pilihan memori sehingga 8GB RAM. Untuk rakaman swafoto, ia menggunakan sensor hadapan 32-megapixel yang terletak pada bahagian takuk hadapan skrin. Skrin hadapan juga turut mengintegrasikan pengimbas cap jari padanya.

Xiaomi Mi CC9 Pro

Untuk kamera belakang, selain kamera utama 108-megapixel, ia turut menyertakan sensor 12-megapixel untuk rakaman potrait, 20-megapixel untuk rakaman ultra-lebar, 5-megapixel telefoto untuk zum sehingga 5 kali, dan juga 2-megapixel untuk rakaman makro.

Xiaomi turut menggunakan bateri 5260mAh dengan sokongan pengecasan pantas 30W, selain turut menyertakan sokongan seperti bicu audio 3.5mm dan juga sokongan pembesar suara.

Bersama-sama pengenalan telefon pintar ini, Xiaomi turut mengumumkan Mi CC9 Pro Premium Edition yang menyertakan lensa F/1.7 8P – sekaligus menawarkan prestasi rakaman gambar yang sangat cantik termasuk pada keadaan cahaya malap.

Buat masa ini, Xiaomi Mi CC9 Pro hanya diumumkan untuk pasaran China sahaja, dimana variasi dengan memori 6GB RAM dan storan 128GB ditawarkan pada harga CNY2,799 iaitu sekitar RM1660.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd