Cari @ Amanz

Kenapa Banyak Album Klasik Artis Malaysia Masih Tidak Boleh Distrim?

Link Copied!

Buka aplikasi penstriman kegemaran anda sekarang. Lakukan carian artis kegemaran dari dekad 80an. Saya peminat tegar kumpulan Gersang dan tidak kira platform penstriman mana anda pilih hanya album Takdir ditawarkan. Ini adalah aneh kerana kumpulan ini menerbitkan tiga album sepanjang kerjaya mereka. Kini cari

Mengapa banyak album lama atau klasik artis-artis Malaysia tidak ditawarkan pada platform penstriman ialah antara misteri yang lama saya mencari jawapannya. Persoalan ini akhirnya terjawab semalam ketika sesi temuduga Amanz dengan Ruuben van den Heuvel yang merupakan ketua bahagian perkongsian muzik YouTube. Menurut beliau majoriti syarikat rakaman tempatan masih belum mendigitalkan kesemua katalog album yang pernah diterbitkan artis tempatan.

Syarikat rakaman mungkin merasakan tidak kesemua karya artis berbaloi untuk didigitalkan. Sebab itulah katalog album XPDC, BumiPutra Rockers, Siti Nurhaliza, Sheila Majid dan M Nasir yang lengkap (atau lebih 80% lengkap) boleh distrim pada pelbagai platform. Pada waktu yang sama ini juga sebab mengapa katalog album 4U2C, Nico, Spoon, Scoin, Exist, Restu dan Feminin tidak boleh ditemui.

Apabila saya menyoal wakil YouTube Music sama ada wujud inisiatif dari mereka untuk menggesa syarikat rakaman untuk mendigitalkan katalog, jawapan yang diberikan ialah mereka hanya boleh memberikan galakan. Syarikat rakaman diberitahu menawarkan kandungan secara digital adalah lebih menguntungkan dari dibiarkan begitu sahaja.

Tetapi umum diketahui kos mendigitalkan kemudian memproses semula pita analog album-album lama bukanlah rendah. Adakah syarikat rakaman mahu membelanjakan beberapa ribu untuk mendigitalkan album kumpulan Nico misalnya pada tahun 2019? Saya yakin ada di antara pembaca yang mungkin tidak pernah mendengar apatah lagi membeli album kumpulan rap ini. Tetapi saya ingin katakan pada anda album kedua mereka Realiti adalah antara yang terbaik dalam genre rap pada dekad 90an.

Kaset Realiti yang dibeli pada tahun 1994 kini sudah hancur kerana dimamah usia. Album ini kami kategorikan sebagai antara yang paling sukar untuk ditemui walaupun ketika era emas cetak rompak menggunakan Limewire dahulu. Empat tahun yang lalu saya berjaya menghubungi MD Nico penyanyi kumpulan ini untuk mendapatkan salinan album. Jawapan yang diberikan beliau adalah mengejutkan kerana beliau sendiri tidak memilikinya. Apabila ditanya siapa yang mempunyai salinan jawapan yang diterima ialah “tidak tahu”.

Jadi mengapakah saya menulis artikel tentang artis yang ramai tidak peduli? Kerana ini ialah sejarah muzik Malaysia yang mungkin akan terpadam selama-lamanya kerana kita sendiri tidak peduli. Kepupusan muzik bermula dengan artis yang anda tidak peduli sebelum artis kegemaran anda pula menjadi mangsanya.

Jika Butterfingers yang merupakan kumpulan gitar rancak terbesar era grunge negara dengan ribuan peminat aktif tidak mempunyai katalog lengkap di platform penstriman apa akan terjadi kepada kumpulan lain? Album pertama 1.2 Miligrams tidak boleh distrim di mana-mana manakala Selamat Tinggal Dunia disenaraikan sebagai single dengan Taman Tasik Perdana tidak ditemui pada mana-mana platform walaupun ia adalah sebahagian album tersebut. Saya bernasib baik kereta di kolej dahulu telah mendigitalkan kesemua CD yang dibeli dan kini boleh mendengar Taman Tasik Perdana dari PC di rumah.

Kita perlu belajar dari sejarah. Si Tora Harimau Jadian ialah satu-satunya filem P Ramlee yang kini hilang selama-lamanya kerana kesemua selain filem dipercayai telah musnah. Filem ini dianggap sampah kerana P Ramlee tidak mempunyai dana mencukupi untuk kesan khas harimau jadian. Sungguhpun begitu ia filem pertama P Ramlee di bawah Studio Merdeka pada tahun 1964. Kehilangannya membuatkan generasi hadapan tidak dapat menonton katalog lengkap karya beliau.

Ketika artikel ini ditulis jumlah kedai muzik fizikal telah gulung tikar. Kedai-kedai yang masih wujud lebih banyak menjual album dari artis luar negara kerana lebih menguntungkan. Perkhidmatan penstriman atau stor atas talian sepatutnya menawarkan kandungan tempatan yang lengkap.

Untuk mengharap Spotify, Google dan Apple menjadi arkib simpanan khazanah muzik negara sebenarnya kurang bijak. Ia mungkin sudah terlambat tetapi kita sebenarnya memerlukan perkhidmatan penstriman muzik dan juga video tempatan dengan katalog yang lengkap.

Adalah amat mengecewakan saya boleh membeli Gone With The Wind (1939) versi digital HD remastered di beberapa stor atas talian tetapi tidak boleh membeli Laila Majnun (1934) yang merupakan filem Melayu pertama.

Kesemua filem Shaw Brothers dekad 50-60an telah didigitalkan dan diremastered. Pada waktu yang sama pada tahun 2019, filem Melayu dari studio yang sama hanya boleh ditonton dalam kualiti VCD secara cetak rompak di YouTube.

Inilah nilai pusaka seni kita sekarang. Kualiti visual hancur. Audio sampah. Dimuat naik percuma di YouTube. Dengan kata lain langsung tidak ada nilai kerana kita sendiri tak peduli. Oh dan jika anda ada salinan album Nico Realiti sila tinggalkan komen di bawah. Saya sudah penat mencari dan semakin hampir untuk mengaku kalah.


Komen ()