AOC Memperlihatkan Siri Paparan Skrin Baru Yang Direka Bersama-Sama Dengan Porsche

AOC Memperlihatkan Siri Paparan Skrin Baru Yang Direka Bersama-Sama Dengan Porsche

Diterbitkan pada November 6, 2019 oleh .

Produk yang hadir daripada gabungan syarikat teknologi dan jenama automotif bukanlah suatu konsep yang baru. Sehingga kini, terdapat komputer desktop, komputer riba, malah peranti pintar yang mempunyai jenama kereta eksotik pada model-modelnya.

Terkini, jenama pembuat paparan terkenal AOC dilihat bekerjasama dengan Porsche dan telah hadir dengan dua buah paparan skrin baru yang meminjam idea rekaan daripada jenama kenderaan dari negara Jerman tersebut.

AOC U32U1 dan AOC Q27T1 adalah dua paparan skrin terbaru daripada AOC, dan kedua-dua paparan skrin ini hadir dengan rekaan minimalis oleh Porsche.

Bermula dengan AOC Q27T1, model ini mempunyai paparan bersaiz 27 inci dengan resolusi QHD (2560×1440), disamping hadir dengan sejumlah kecil input yang termasuk dua palam HDMI dan satu palam DisplayPort.

Dari segi kualiti paparan, ia meliputi 107 peratus liputan warna RGB dan 90 peratus daripada liputan warna NTSC. Selain daripada rekaan bezel hampir nirbingkai dan tapak kaki yang tidak simetri, ia dilihat mempunyai rekaan minimalis yang memfokuskan kepada paparan itu sendiri.

Beralih kepada model U32U1 pula, model paparan ini mempunyai rekaan hampir sama dengan model Q27T1, tetapi dilengkapi dengan teknologi-teknologi yang lebih berkuasa.

Paparannya yang bersaiz 32 inci mempunyai resolusi 4K dengan panel yang menyokong HDR10 dan meliputi 90 peratus daripada ruangan warna DCI-P3 yang sering digunakan oleh editor-editor filem di Hollywood.

Dari segi input video dan digital, ia mempunyai satu palam HDMI 2.0, satu palam HDMI 1.4, satu palam DisplayPort, satu palam USB 3.1 Type-C dan empat palam USB 3,1 Type-A.

Tapak paparan ini juga sedikit berbeza daripada model 27 inci, dimana ia menggunakan kaki seakan-akan sebuah tripod.

Paparan skrin AOC Q27T1 ini sudah mula dijual di pasaran-pasaran terpilih pada harga £279, manakala paparan skrin AOC U32U1 pula akan mula dijual pada penghujung tahun ini.


TIPS & ULASAN