Surcaj Tambahan 10 Peratus Touch’n’Go Akan Dimansuhkan Secara Berperingkat

Surcaj Tambahan 10 Peratus Touch’n’Go Akan Dimansuhkan Secara Berperingkat

Diterbitkan pada November 6, 2019 oleh .

Selepas syarikat pembina lebuhraya PLUS mengumumkan bahawa lorong tambah-nilai Touch’n’Go akan ditutup sepenuhnya, ramai orang telah membantah langkah tersebut dan mengatakan pelbagai alasan mengapa ini adalah langkah yang kurang wajar.

Di Twitter, terdapat tagar #mansuhtouchngo yang meminta orang ramai untuk memboikot perkhidmatan pembayaran nirtunai tersebut atas pelbagai alasan.

Diantara isu-isu yang dibangunkan oleh orang ramai ialah mengenai surcaj 10 peratus yang dikenakan oleh pengendali kawasan letak kereta untuk menggunakan perkhidmatan tersebut, dan juga caj 50 sen yang dikenakan oleh banyak kedai-kedai untuk menambah-nilai pada kad Touch’n’Go tersebut.

Di sidang Parlimen hari ini, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata bahawa surcaj 10 peratus untuk kawasan letak kenderaan tersebut akan dimansuhkan secara berperingkat.

Ini adalah kerana Touch’n’Go perlu melunaskan kontrak mereka dengan syarikat pengendali tempat letak kenderaan, dan kesemua surcaj ini dilihat hanya hadir melalui tempat-tempat letak kenderaan yang menggunakan dua sistem yang berbeza.

Rasionalnya disini ialah pihak Touch’n’Go mempunyai perjanjian kontrak yang membolehkan mereka meletakkan sistem pembayaran parkir nirtunai di kawasan-kawasan tersebut.

Kawasan-kawasan letak kereta yang menggunakan Touch’n’Go sahaja sebagai sistem pembayaran tunggal tidak dikenakan surcaj 10 peratus ini.

Bercakap mengenai caj tambahan 50 sen apabila menambah-nilai kad Touch’n’Go, Chong Chieng Jen berkata lagi bahawa caj tambahan ini bukan dikenakan oleh Touch’n’Go, tetapi pekedai yang mengendalikan sistem tambah-nilai tersebut.

Sesuatu yang agak merisaukan ialah apabila beliau berkata bahawa hanya 2880 daripada 11,168 kedai di seluruh negara yang tidak mengenakan caj tambahan ini.

Tambah beliau lagi, walaupun Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dilaporkan menerima banyak aduan mengenai isu PLUS dan Touch’n’Go ini, mereka dilaporkan telah mengatakan bahawa Touch’n’Go bukanlah satu monopoli kerana terdapat banyak lagi perkhidmatan pembayaran nirtunai di pasaran tempatan sekarang.

Walaupun Touch’n’Go masih pilihan tunggal untuk membayar tol jalan, kami juga telah melaporkan bahawa PLUS akan mula membenarkan pembayaran tol menggunakan dompet nirtunai lain-lain pada penghujung tahun ini ataupun awal tahun hadapan.


TIPS & ULASAN