Cari @ Amanz

Acara Adobe Sneaks Memperlihatkan Pelbagai Fungsi Eksperimental Menarik Berasaskan Kecerdasan Buatan Adobe Sensei

Link Copied!

Setiap tahun di acara Adobe MAX, akan ada sesi Sneaks dimana mereka akan mempersembahkan teknologi eksperimental pada perisian Creative Cloud. Teknologi ini tidak dapat diketahui sama ada akan dibawakan kepada pengguna, atau sekadar eksperimen semata-mata namun seumpama namanya, ia sangat menarik dan berpotensi memudahkan pengguna.

Berikut merupakan 11 fungsi eksperimental yang dipertontonkan hari ini.

Photoshop – All In

Menggunakan kecerdasan buatan, algoritma ini akan mengesan elemen yang ‘hilang’ apabila dua gambar dicantumkan. Dalam video ini, pada kawasan lapang yang sama terdapat gambar yang berbeza. Algoritma ini dapat mengetahui elemen yang berbeza, kemudian mencantumkan kedua gambar ini menjadi sesuati gambar yang baru.

Audition – Sound Seek

Jika anda biasa menggunakan perisian Adobe Audition, terdapat satu fungsi untuk membuangkan bunyi hingar iaitu DeNoise, ataupun menggunakan Capture Noise Print. Namun sedikit berbeza dengan Sound Seek, yang akan mencari corak waveform tersebut dan dapat membuangnya dengan mudah. Malah, ia juga boleh mengesan pelbagai suara, antaranya suara gagap, ataupun bunyi hon, sekaligus menjadikan kejituan fungsi ini untuk membuang bunyi hingar lebih tepat dari yang terdahulu.

Sweet Talk

Animasi raut wajah sewaktu berbual merupakan penekanan kepada fungsi eksperimental ini. Pengguna boleh meletakkan sebarang jenis muka, baik muka manusia, muka kartun, malah muka kucing sekalipun, dan raut wajah akan bergerak persis ia sedang bercakap. Raut wajah yang dipaparkan adalah seragam dengan apa yang dikatakan.

Aero – Pronto

Baru sahaja semalam aplikasi Aero untuk iOS dilancarkan, fungsi eksperimental Pronto ini pula meneroka fungsi untuk mencipta kandungan AR secara terus dari aplikasi, berbeza dengan sekarang ini yang biasanya perlu diprogram. Ia juga boleh merakam video, dan meletakkan arahan terhadapnya dan juga menyertakan grafik yang boleh diintegrasikan dengan AR.

Image Tango

Dengan menggunakan lukisan semudah lukisan lidi, Adobe Sensei akan menggunakan lukisan tersebut sebagai bentuk asas, dan pengguna boleh menetapkan tekstur warna untuknya. Dalam contoh diatas, pengguna hanya melukis burung yang bertenggek di dahan, dan Adobe Sensei dapat mencadangkan pilihan warna tersedia untuknya.

Go Figure

Menjadi kebiasaan apabila juruanimasi ingin membuatkan watak lukisan kartun lebih hidup, akan terdapat proses keyframing yang memakan masa, dan juga rakaman gerak (motion capture) seseorang tersebut. Kedua-dua solusi ini memakan masa dan juga kos yang tinggi. Namun fungsi eksperimental ini boleh mengesan sehingga 18 watak dalam satu babak. Malah keyframe-nya juga akan dianimasikan secara automatik, mengikut pergerakkan rakaman pengguna tanpa memerlukan sekarang kelengkapan lain.

Photoshop – Light Right

Terkadang satu-satu gambar pemandangan itu tidak mempunyai pencahayaan yang cantik. Bagi memenuhi hasrat untuk membolehkan lebih ramai lagi merakam gambar pada ‘golden moment’, fungsi eksperimental ini membolehkan pengguna seolah-olah mengawal kedudukan matahari dan waktu rakaman gambar bagi membolehkan rakaman yang lebih semulajadi dihasilkan. Algoritma ini juga dapat digunakan untuk fail berasaskan video, selagi mana kedudukan matahari dapat dipastikan.

Audition – Awesome Audio

Jika tadi fungsi Sound Seek diperkenalkan bagi mencari dan membuang bunyi yang tidak diinginkan, fungsi Awesome Audio pula akan menganalisa fail audio dan menyamakan tahap kedua-dua audio tersebut, meskipun pada berlainan masa dan berlainan waktu.

Illustrator – Glowstick

Untuk Photoshop yang mempunyai fungsi Light Right, fungsi eksperimental Adobe Illustrator pula adalah Glowstick. Seperti namanya, fungsi ini dapat menukar garis atau bentuk menjadi sumber cahayal hanya dengan satu klik. Cahaya yang terpancar dari objek ini akan merubah warna atau bentuk objek yang lain, malah dapat menghasilkan bayang-bayang.

About Face

Akhir sekali adalah projek About Face yang direka untuk mengesan sekiranya sesuatu gambar tersebut telah ‘dicemari’, atau disunting dengan tujuan untuk memalsukan gambar. Pengecaman ini dapat dilakukan sehingga ke tahap pixel, dan untuk pixel yang dicemari dan dipalsukan, ia akan dapat memberikan gambaran tersebut.


Seperti biasa kesemua projek eksperimental pada Adobe Sneaks hanyalah bersifat eksperimental, dan tiada pengesahan sekiranya ia akan hadir pada kemaskini perisian akan datang. Namun dapat dilihat makin banyak kecerdasan buatan Adobe Sensei yang hadir dalam fungsi eksperimental ini, sekaligus melebarkan peluang dan potensi perisian Creative Cloud akan datang.


Komen ()