Pembaca tegar Amanz pasti tahu saya ialah peminat tegar telefon pintar Sony Xperia. Tetapi sejak tiga tahun kebelakangan ini produk yang dikeluarkan mereka adalah amat mengecewakan. Oleh sebab itu jualan mereka kini turut terjejas. Menurut laporan kewangan yang diterbitkan minggu lalu, hanya 600,000 peranti Xperia berjaya dikeluarkan pada suku ketiga 2019.
Ini adalah penurunan 60% berbanding suku yang sama tahun lalu. Kerana angka yang mengecewakan ini, Sony Mobile mengunjurkan pengeluaran 3.5 juta peranti sahaja untuk keseluruhan tahun fiskal 2019. Tiada sebab rasmi mengapa ini berlaku tetapi pastinya berkait rapat dengan tindakan Sony yang mengecilkan pasaran telefon pintar mereka. Pada waktu yang sama portfolio peranti mereka juga terhad. Hanya Xperia 1, Xperia 10, Xperia 10 Plus, Xperia L3 dan Xperia 5 sahaja diumumkan tahun ini.
Nasib Sony adalah berbeza sekali dengan Huawei yang sudah mengeluarkan lebih 200 juta peranti pada tahun 2019 walaupun selepas dikenakan sekatan perdagangan. Masih wujudkah peminat peranti Xperia di kalangan pembaca Amanz?