Pada awal tahun ini, sewaktu acara Consumer Electronics Show, Alienware telah memperlihatkan komputer riba gaming paling berkuasa mereka, iaitu Alienware 51m yang bukan sahaja spesifikasi yang berkuasa, tetapi sebuah ciri baru yang tidak dilihat di mana-mana komputer riba sebelum ini.
Gimik Alienware 51m ini ialah kesemua komponen dalamannya, daripada CPU, ke memori, storan dan kad grafik semuanya boleh ditukar oleh pengguna sendiri. Kebiasaannya, untuk penambahbaikan sebuah laptop, pengguna terhad kepada menukar memori dan storan sahaja.
Alienware 51m menggunakan CPU desktop, dan lebih menarik lagi, rekabentuk kad grafik komputer riba ini menggunakan rekaan khas dari Dell yang dinamakan DGFF ataupun Dell Graphics Form Factor.
Dengan rekaan ini, pengguna boleh menukar sendiri komponen-komponen didalam peranti ini, termasuklah kad grafik tersebut juga. Buat masa ini, Dell dilihat menjual modul DGFF ini dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2070 dan NVIDIA GeForce RTX2080, untuk mereka yang membeli Alienware 51m dengan pilihan kad grafik yang kurang berkuasa.
Walaupun begitu, harga kedua-dua modul DGFF ini akan mengejutkan anda. Modul kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2070 berharga $1038 (~RM4289), manakala kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 berharga $1638(~RM6768).
Modul kad grafik DGFF ini hanya dijual di pasaran Amerika buat masa ini.