Carian
Microsoft Membangunkan Kecerdasan Buatan Yang Mengesan Kanser Serviks Lebih Pantas Berbanding Manusia
November 12, 2019 Effi Saharudin

Kanser serviks atau pangkal rahim adalah kanser yang ketiga paling lazim berlaku dalam kalangan wanita di Malaysia dan sekitar 2,145 wanita tempatan menghidapnya setiap tahun. Untuk mengesannya lebih awal, ujian lumuran Pap (Pap smear) dilakukan dan sampel kemudian dianalisa di bawah mikroskop. Ini memerlukan kriptologis di makmal mengesan tanda-tanda awal sel kanser dan ini biasanya memakan masa yang lama.

Di India, Microsoft telah membangunkan kecerdasan buatan yang mengesan kanser serviks lebih pantas berbanding manusia. Ia dibangunkan kerana terdapat lebih banyak sampel yang perlu dianalisa berbanding kriptologis di negara tersebut. Kanser serviks ialah kanser yang keempat paling kerap dihadapi wanita pada tahap global dengan 16% kes ditemui di India. Oleh itu sistem saringan yang pantas amat diperlukan bagi mengesan kehadiran kanser ini sebelum terlambat.

Ia bukan sahaja mampu mengesan sampel lumuran Pap yang normal berbanding yang mungkin mengandungi kanser malah berupaya mengkategorikannya ke dalam tujuh kategori di antara normal, pra-kanser dan kanser telah dikesan. Kriptologis masih diperlukan untuk pengesahan akhir sampel.

Dengan kecerdasan buatan ini, tugasan menyaring 98% yang biasanya ditemui normal tidak lagi memerlukan campur tangan kriptologis. Selain mengesan kanser serviks, kecerdasan buatan juga telah digunakan untuk mengesan sel kanser payudara serta paru-paru.

Komen