Cari @ Amanz

Sebagai peranti generasi pertama, Samsung Galaxy Fold menggunakan panel plastik poliamida pada skrin boleh lipat mereka. Antara masalah awal yang ditemui ialah ia tidak tahan calar berbanding kaca sekaligus menimbulkan tanda tanya mengenai ketahanan jangka panjang skrin. Untuk peranti Galaxy Fold generasi seterusnya, skrin kaca boleh lipat yang lebih tahan lasak akan digunakan.

Menurut laporan ETNews, Samsung menandatangani perjanjian eksklusif dengan syarikat DoInsys yang menghasilkan kaca ultra nipis (UTG) yang boleh dilipat. Kontrak yang ditandatangani bernilai KRW12 bilion (~RM42.7 juta) dalam bentuk sumbangan dana dan kemudahan pengilangan besar-besaran. UTG akan dikilangkan di Korea Selatan dan juga Vietnam. Ini memberikan petanda awal Galaxy Fold 2 akan menggunakan teknologi kaca baharu ini pada skrinnya kelak.

Pada waktu ini DoInsys menghasilkan sekitar 50,000 unit UTG sebulan. Dengan suntikan dana dari Samsung jumlah ini akan meningkat bagi memenuhi keperluan Samsung yang menyasarkan sehingga 6 juta peranti skrin boleh lipat dijual sepanjang 2020.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd