Carian
Google: Wanita Di Malaysia Memilih Telefon Pintar Kerana Keupayaan Kamera
November 12, 2019 Ikhwan Nazri

Sepuluh tahun yang lalu pemilikan telefon pintar boleh dikatakan sebagai kehendak dan bukannya keperluan. Namun masa berlalu begitu pantas dan kini telefon pintar sudah menjadi keperluan, sejajar dengan perkembangan teknologi di Malaysia. Tahun ini sahaja lebih dari 80 telefon pintar telahpun berada di pasaran Malaysia.

Pada hari ini Google Malaysia dengan kerjasama IPSOS telah berkongsi sedikit sebanyak mengenai statistik dan kajian mereka terhadap pemilikan telefon pintar di Malaysia. Secara kasarnya, boleh dikatakan rakyat Malaysia semakin mengambil berat mengenai pemilikan telefon pintar, dan ini sedikit sebanyak diperlihatkan dalam corak pembelian mereka.

Dalam kajian yang mengambil sampel sebanyak 929 orang, mereka telah mengkaji dan memahami sebab musabab pemilikan telefon pintar, apakah proses pemilikan yang dilalui mereka, dan juga wang yang mampu dibelanjakan. Ini termasuklah taburan jantina, dan tempat tinggal mereka.

Secara asasnya, terdapat tiga golongan yang aktif memiliki telefon pintar adalah mereka yang merupakan peminat teknologi yang kerap mengkaji mengenai telefon pintar, diikuti dengan peminat setia terhadap sesuatu jenama. Golongan ketiga pula adalah mereka yang hadir ke kedai, dan membeli peranti tersebut, menunjukkan terdapat budaya pembeli yang tidak bergantung kepada sebarang ulasan mahupun mengkaji peranti tersebut terlebih dahulu.

Agak menarik apabila ditanya kepada sampel mengenai sebab mereka memilih sesuatu peranti tersebut, 67% wanita memilih telefon tersebut kerana keupayaan kameranya, manakala 65% lelaki memilih telefon tersebut kerana keupayaan sistem operasi peranti tersebut. Bagi pengguna di kawasan kampung dan luar bandar, faktor ketahanan bateri menjadi ciri terpenting dalam memilih telefon pintar.

Paling mengejutkan adalah menurut kajian ini juga, harga tidak semestinya faktor terpenting dalam pemilihan peranti, sebaliknya pengguna Malaysia lebih mengutamakan ciri-ciri dan fungsi peranti tersebut. Walaupun kebanyakan sampel memiliki telefon pintar dibawah RM 2,070, sekiranya diberi pilihan mereka lebih mengutamakan ciri berbanding harga.

Kajian ini jelas menunjukkan terdapat perkembangan sihat dalam budaya membeli diatas talian untuk peranti, dimana kini 1 dari 4 telefon pintar di Malaysia dibeli menerusi platform atas talian, malah 27% dari pengguna kawasan luar bandar membeli telefon secara atas talian, berbanding 23% dari pengguna di kawasan bandar yang membeli telefon secara atas talian. Adalah penting untuk jenama-jenama peranti memfokuskan pasaran luar bandar, dan tidak terhad kepada kawasan bandar semata-mata.

Komen