Instagram terkenal dengan “mencuri” fungsi dari aplikasi pesaing dan memperkenalkan pada aplikasi mereka. Contohnya, fungsi “Stories” yang sedia terkenal pada Snapchat diintegrasikan pada aplikasi mereka. Dengan populariti TikTok yang semakin menjadi-jadi, Instagram kini mengintegrasikan salah satu fungsi popular dari TikTok ke aplikasi mereka.
Fungsi ini digelar “Reels”. Fungsi ini akan hadir secara terbina dari Stories dan pengguna boleh menghasilkan klip 15-saat dengan pilihan menambah muzik latar dari pelbagai pilihan yang disediakan. Pengguna juga boleh meminjam audio dari klip lain yang boleh dicari melalui tanda tagar. Pilihan muzik latar juga boleh dipilih dari perpustakaan audio yang disediakan atau cipta sahaja klip bisu.
Menjadikan fungsi ini lebih menarik, kemampuan menyunting klip juga disertakan. Pengguna boleh menambah kapsyen, lapisan ghost untuk peralihan dan banyak lagi. Disebabkan fungsi ini masih baru, banyak lagi penuras dan kesan-kesan menarik lain yang ada pada TikTok tidak ada pada Instagram. Setiap klip yang dihasilkan boleh dikongsi sebagaimana Stories dikongsi. Jika pengguna terbit secara awam, ada kemungkinan besar klip yang dihasilkan pengguna akar tular dan disenaraikan dalam Top Reels.
Buat masa ini, fungsi ini hanya boleh digunakan oleh pengguna di Brazil sahaja. Tidak pasti bila ia akan dilancarkan kepada semua. TikTok dan Instagram kedua-duanya mempunyai jumlah pengguna aktif yang hampir sama, adakah dengan kehadiran fungsi ini Instagram boleh menandingi TikTok?