Rekaan Komputer Padat NUC Intel Frost Canyon Tertiris – Dikuasakan Oleh CPU Intel Comet Lake Berkuasa Rendah

Rekaan Komputer Padat NUC Intel Frost Canyon Tertiris – Dikuasakan Oleh CPU Intel Comet Lake Berkuasa Rendah

Diterbitkan pada November 13, 2019 oleh .

Komputer padat Next Unit of Computing, ataupun lebih dikenali sebagai NUC ialah sebuah siri komputer padat yang dikeluarkan Intel untuk menunjukkan kebolehan cip-cip pemprosesannya didalam sebuah peranti yang tidak begitu besar.

Peranti NUC terbaru dinamakan Frost Canyon, dan rekaannya telah tertiris baru-baru ini melalui pengguna Twitter momomo_us. Rupa bentuk NUC ini tidak begitu berbeza berbanding dengan sebelum ini, cuma di bahagian hadapannya, salah satu daripada dua palam USB 3.1 Type-A sebelum ini digantikan dengan palam USB 3.1 Type-C.

Menguasakan NUC Frost Canyon ini ialah pilihan CPU Intel generasi kesepuluh, iaitu Intel Core i7-10710U yang mempunyai enam teras dan dua belas bebenang kuasa, Intel Core i5-10210U yang mempunyai empat teras dan lapan bebenang kuasa dan Intel Core i3-10110U yang mempunyai dua teras dan empat bebenang kuasa.

Spesifikasi dalaman lain seperti jumlah memori dan storan tidak ditetapkan kerana pengguna perlu memasang sendiri komponen-komponen ini.

Satu lagi butiran yang menarik mengenai peranti Frost Canyon ini ialah ia akan menggunakan jumlah kuasa yang cukup rendah, sebanyak 25W sahaja.

Tanda harga untuk NUC Frost Canyon ini belum diketahui lagi, tetapi terdapat juga laporan yang mengatakan bahawa ia akan mula dijual pada bulan Disember kelak.


TIPS & ULASAN