Cari @ Amanz

Disney+ adalah platform penstriman video tersendiri dari Disney. Ia boleh dikatakan adalah pesaing kepada Netflix, Apple TV+, dan platform penstriman video lain-lain – tetapi ia hanya akan menyediakan kandungan-kandungan milik Walt Disney. Antara kandungan yang akan disertakan adalah filem-filem dan siri TV dari Disney, Pixar, Marvel, Star Wars dan National Geographic. Turut ditawarkan adalah berkas langganan bersama-sama dengan Hulu dan ESPN+.

Platform ini sudah pun dilancarkan di Amerika Syarikat, Kanada dan Netherland minggu ini, sayang sekali apabila kami bertanya dengan wakil Disney Malaysia – mereka masih tiada berita baik untuk platform ini dilancarkan di Malaysia. Tetapi usah risau, kerana kami telah menemui jalan untuk melanggan Disney+ dengan bayaran mata wang Ringgit. Pembayaran ini pula akan dikenakan melalui akaun Google Play dan resit rasmi turut akan diberikan.


  • Info
  • Perlu Diingatkan Yang Anda Perlu Melanggan Pelan VPN Premium, Kerana Beberapa Pelan VPN Percuma Mempunyai Pelayan & Sambungan Yang Perlahan – Lantas Tidak Menjayakan Langganan Ini

Langkah 1

Pastikan peranti anda telah berhubung dengan VPN dengan mana-mana pelayan dari negara Amerika Syarikat, Kanada atau Netherland. Cipta akaun Google dengan tetapan salah satu dari tiga negara tadi. Masukkan nama pertama dan akhir, isikan nama emel dan kata laluan. Kemudian, pilih nombor telefon dari tiga negara tadi – contohnya Kanada adalah +1 613 555 xxxx (xxxx mewakili apa-apa empat digit rawak). Jika anda pilih negara lain, anda boleh sahaja cari di Google untuk jana nombor rawak. Kemudian tekan Next dan pilih Not Now. Baca terma dan syarat dan setuju.

Langkah 2

Cari aplikasi Disney+ di Play Store. Akan tetapi anda perlu ingat, beberapa peranti Samsung atau Pixel dengan Android 10 tidak disokong buat masa ini. Jika anda pasang fail APK, ada 99% kemungkinan besar anda akan kerap menerima masalah pelayan. Selesai pasang aplikasi, cipta akaun dengan menggunakan emel Google yang anda cipta tadi. Kemudian anda akan ditawarkan langganan percuma 7 hari dan perlu memilih langganan bulanan RM28.99 atau tahunan RM294.99.

Langkah 3

BERJAYA!!! Itu sahaja yang anda perlu lakukan. Untuk memudahkan lagi kerja anda, muat turun terlebih dahulu untuk tontonan secara luar talian. Kemudian matikan sahaja VPN dan anda boleh teruskan tonton tanpa sebarang masalah. Cuma, untuk menonton tanpa gangguan – pastikan anda langsung tidak sambung pada mana-mana rangkaian Internet. Antaramukanya adalah mudah untuk difahami dan mudah untuk digunakan. Sebanyak 7 profil anda boleh cipta, tetapi seperti Netflix – hanya empat peranti serentak sahaja boleh digunakan untuk pentsriman.

Langkah 4

Berjaga-jaga! Ada pengguna yang akan lihat pembayaran dalam USD dan anda perlu ingat tamat sahaja 7 hari – ia akan tolak duit dari PayPal, kad debit/kredit atau kredit Google Play anda secara automatik. Jika anda ingin mencuba sahaja dalam tempoh tujuh hari ini, buka Google Play pergi ke bahagian langganan – matikan langganan. Anda boleh menggunakannya selama 7 hari dan duit tidak akan auto tolak dari akaun anda.


Saya juga tidak pasti bagaimana Disney+ boleh paparkan harga dalam RM, sedangkan ia tidak dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Ada kemungkinan besar mereka sudah bersedia untuk melancarkan perkhidmatan ini di sini, tetapi mungkin belum lepas lagi dari Lembaga Penapis Filem untuk pengkadaran filem sesuai untuk ditonton oleh siapa. Filem-filem lama yang sudah berada di Astro atau sudah ditayangkan mungkin tidak menjadi masalah. Cuma mungkin kandungan-kandungan eksklusif Disney+ sahaja seperti The Mandalorian belum lagi lepas.

Ada juga spekulasi yang mengatakan, Astro memegang hak Disney di Malaysia – jadi sebab itu ia tidak dilancarkan lagi. Apa-apa pun, buat masa ini – ini adalah cara terbaik untuk anda saksikan kandungan-kandungan Disney+ Originals secara sah dan bukan cetak rompak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd