ASUS ZenBook Duo dan ZenBook Pro Duo Kini Di Pasaran Tempatan – Mencecah Harga RM15999

ASUS ZenBook Duo dan ZenBook Pro Duo Kini Di Pasaran Tempatan – Mencecah Harga RM15999

Diterbitkan pada November 14, 2019 oleh .

Sewaktu acara Computex Taipei pada tengah tahun ini, ASUS telah melancarkan beberapa siri komputer riba dibawah nama ZenBook yang memfokuskan kepada tugasan-tugasan kreatif yang dinamakan ASUS ZenBook Duo dan ASUS ZenBook Pro Duo.

Bermula dengan komputer riba ASUS ZenBook Duo, ia adalah sebuah komputer riba 14 inci yang hadir dengan paparan LCD hampir nirbingkai beresolusi Full HD yang disahkan Pantone.

ZenBook Duo

Dari segi spesifikasi dalaman, ia dilengkapi dengan pilihan CPU Intel Core i5-10210U ataupun Intel Core i7-10510U generasi kesepuluh Comet Lake, memori DDR4 sebanyak 8GB, dan storan SSD PCIe 512GB.

Ia juga dilengkapi kad grafik NVIDIA GeForce MX250 untuk mereka yang ingin menggunakan komputer riba ini untuk tugasan-tugasan seperti mengedit video dan sebagainya.

Beralih kepada ASUS ZenBook Pro Duo, komputer riba ini dibina khusus untuk golongan kreatif yang inginkan sebuah mesin kerja yang bukan sahaja cukup berkuasa untuk tugasan seperti pengolahan grafik 3D, tetapi juga mudah untuk dibawa kemana-mana.

ASUS ZenBook Pro Duo pula ialah komputer riba 15.6 inci dengan paparan OLED beresolusi 4K dengan pengesahan Pantone, sokongan untuk DCI-P3 dan 133 peratus rangkuman warna sRGB.

Dari segi spesifikasi dalaman, ASUS ZenBook Pro Duo ini dilengkapi dengan CPU Intel Core i7-9750H ataupun Intel Core i9-9980HK, memori DDR4 sebanyak 32GB dan storan SSD PCIe sebesar 1TB.

Untuk mempercepatkan tugasan-tugasan seperti pengolahan grafik, mengenkod video dan sebagainya, ZenBook Pro Duo ini juga dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2060 yang cukup berkuasa sekali.

Kedua-dua komputer riba ini hadir dengan ciri ScreenPad Plus yang berfungsi sebagai paparan kedua dan boleh digunakan untuk pelbagai jenis tugas-tugasan yang lain.

Bukan itu sahaja, bergantung kepada perisian yang digunakan, paparan ScreenPad Plus ini boleh digunakan sebagai lanjutan kepada perisian. Dengan stylus yang dibekalkan pada kedua-dua model ini, artis juga boleh menggunakan ScreenPad ini sebagai kawasan melukis yang cukup besar sekali.

Untuk sambungan internet terpantas, ASUS ZenBook Duo dan ZenBook Pro Duo ini juga dilengkapi sokongan untuk WiFi 6, Untuk mereka yang sering menghantar data dari storan luaran ke dalam komputer riba, kedua-dua model ini juga hadir dengan sokongan untuk palam Thunderbolt 3.

Kedua-dua peranti ASUS ZenBook Duo dan ASUS ZenBook Pro Duo ini sudahpun memasuki pasaran tempatan bermula hari ini, dan boleh dibeli pada harga-harga berikut:

  • ASUS ZenBook Duo (Intel Core i5) – RM4699
  • ASUS ZenBook Duo (Intel Core i7) – RM5699
  • ASUS ZenBook Pro Duo (Intel Core i7) – RM12999
  • ASUS ZZenBook Pro Duo (Intel Core i9) – RM15999

TIPS & ULASAN