Cari @ Amanz

Intel mungkin dikenali sebagai syarikat pembangunan cip berasaskan silikon dan juga cip pemprosesan komputer yang menguasakan berjuta peranti komputer desktop dan komputer riba di seluruh dunia, tetapi baru-baru ini, mereka turut dilihat membangunkan teknologi cip pemprosesan grafik untuk tujuan perindustrian.

Terkini, Intel telah mengumumkan kehadiran cip pemprosesan grafik terbaru mereka yang dibina berdasarkan rekaan Xe yang dinamakan “Ponte Vecchio“. Buat masa ini, fokus GPU Ponte Vecchio masih berkisar sekitar pemerkuasaan teknologi kecerdasan buatan, pembelajaran mesin dan sewaktu dengannya.

GPU Ponte Vecchio ini dibina menggunakan proses 7nm terbaru dari Intel, dan ia mampu melakukan pengiraan sebanyak 1 exaflop sesaat, dan akan menggunakan teknologi penyambungan CXL (Compute eXpress Link) yang berdasarkan teknologi PCIe 5.0 yang belum lagi dilancarkan.

Kad grafik berdasarkan GPU Ponte Vecchio digunakan didalam projek perkomputeran Exascale yang dinamakan Aurora yang akan terletak di Argonne National Laboratory. Adikomputer Aurora ini menggunakan CPU Intel Xeon terbaru yang mempunyai nama “Sapphire Rapids” dan juga enam GPU Ponte Vecchio ini, dan akan turut menggabungkan storan Intel Optane juga.

Intel mengatakan bahawa komponen-komponen ini hanya akan tiba pada tahun 2021 kelak, manakala adikomputer Aurora ini akan lengkap dibina pada penghujung tahun tersebut.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd