Kerentanan Pada Android Membolehkan Rakaman Video, Gambar Dan Audio Diambil Tanpa Disedari

Kerentanan Pada Android Membolehkan Rakaman Video, Gambar Dan Audio Diambil Tanpa Disedari

Diterbitkan pada November 20, 2019 oleh .

Privasi adalah amat penting pada waktu ini. Jika anda lihat sejak akhir-akhir ini syarikat besar seperti Apple, Microsoft, Google dan malahan Facebook banyak mengeluarkan kenyataan tentang usaha mereka untuk memastikan data peribadi pengguna adalah selamat dari intipan. Tetapi menurut firma keselamatan Checkmarx, mereka menemui kerentanan pada sistem operasi Android yang membolehkan rakaman video, gambar dan audio dilakukan tanpa disedari oleh pengguna.

Kerentanan sekuriti ini boleh diambil kesempatan oleh pembangun aplikasi hasad. Apa yang diperlukan hanyalah kebenaran mengakses storan pada peranti untuk kerentanan ini berfungsi. Menurut mereka kerentanan ditemui pada peranti Google dan Samsung pada waktu ini.

Berita baik bagi anda ialah sekiranya kamera diakses oleh penggodam, skrin akan memaparkan aplikasi kamera. Tetapi ini bermakna anda masih boleh diintip tanda disedari ketika peranti diletakkan di atas meja, sedang tidur atau ditelangkupkan.

Berita terbaik kedua ialah kerentanan ini telah ditampal oleh Google dan Samsung pada bulan Julai 2019 menerusi kemas kini sekuriti. Masalah di sini ialah terdapat peranti Android yang tidak menerima kemas kini bulanan kerana sudah agak berusia atau pengguna yang culas melakukannya. Secara teori kerentanan ini masih wujud di dunia sebenar dan menanti untuk disalahgunakan oleh penggodam sekiranya perlu.


TIPS & ULASAN