Carousell, platform jual-beli antara pengguna dan pengiklanan barangan yang terkemuka hari ini mengumumkan bahawa mereka telah bergabung dengan beberapa syarikat iklaneka (classifieds) yang lain di rantau Asia Tenggara.
Melalui siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Carousell, syarikat tersebut bergabung dengan aset-aset atas talian Telenor Group, termasuklah Mudah dari Malaysia, Cho Tot di Vietnam dan juga OneKyat di Myanmar.
Ini bukanlah gabungan pertama buat Carousell. Pada awal tahun ini, mereka telah bergabung dengan OLX Philippines, dan dengan gabungan-gabungan yang baru diumumkan ini, Carousell kini hadir di lapan negara di rantau ini.
Gabungan tiga syarikat terbaru ini juga bermakna bahawa Telenor Group merupakan pemegang saham minoriti Carousell yang memegang sebanyak 32 peratus daripada saham syarikat tersebut.
Carousell turut mengumumkan lagi bahawa walaupun Mudah, Cho Tot dan OneKyat kini melapor terus kepada Carousell, ketiga-tiga platform iklaneka ini akan beroperasi seperti sedia ada, tanpa penukaran nama ataupun cara kerja mereka.