ColorOS 7 telah dilancarkan secara rasmi dan ini ialah pelancar pertama dari Oppo yang berasaskan Android 10. Dengan pengenalannya beberapa fungsi baharu dilakukan pada antaramuka dan juga sistem bagi memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik berbanding ColorOS 6.
Dari segi rekaan ia masih mempunyai banyak persamaan dengan ColorOS 6. Elemen antaramuka dan ikon aplikasi masih lagi minimalis dengan perubahan kecil dilakukan bagi membuatkannya lebih selesa digunakan untuk jangka masa yang lama. Focus Mode diperkenalkan dan ini meminjam fungsi Zen Mode yang ditemui pada OxygenOS. ColorOS 7 menyokong tema gelap secara menyeluruh walaupun pada aplikasi pihak ketiga.
Ia juga secara automatik mengaktifkan mod kereta apabila aplikasi ditambat pada sistem audio kenderaan. Fungsi Flashback pula adalah tingkap kecil yang muncul pada skrin bagi membolehkan dua aplikasi digunakan serentak. Ini memudahkan mesej dibalas ketika menonton video YouTube misalnya. Seperkara lagi ColorOS 7 menggunakan muka taip baharu Oppo Sans.
Penambahbaikan sistem membolehkan aplikasi dilancarkan sehingga 25% lebih pantas, penggunaan RAM diperbaiki sehingga 40% dan prestasi permua meningkat sehingga 19% berbanding ColorOS 6.
ColorOS 7 akan mula diberikan kepada Oppo Reno. Reno Barcelona Edition, Reno 10X Zoom dan Reno Ace bermula 12 November. Oppo Reno2 akan menrimanya pada bulan Disember. Kemudian pada suku pertama 2020 ia diberikan kepada Reno2 Z, Reno Z, Find X, R17,R17 Pro dan K5. Peranti Realme X akan menerimanya pada Februari 2020, Realme Q pada Mac 2020 dan Realme X2 serta X2 Pro pada April 2020.
Kesemua tarikh ini adalah untuk peranti di China sahaja. Jadual kemas kini global mungkin akan diberikan pada pelancaran ColorOS 7 global pada 26 November hadapan.
Sumber ColorOS menerusi GizmoChina