Apple hari ini baru sahaja memecah tanah di Austin, Texas untuk memulakan pembinaan kampus terbaru mereka di negeri Lone Star tersebut. Kampus tersebut juga terletak berdekatan dengan pusat pembinaan komputer Mac Pro terbaru mereka.
Kampus Apple di Austin tersebut dianggarkan akan memakan belanja $1 bilion (~RM4 bilion), bersaiz 3 juta kaki persegi dan akan memuatkan 5000 orang pekerja apabila ia disiapkan pada tahun 2022. Apple mengatakan bahawa kampus ini boleh diperbesarkan lagi untuk memuatkan seramai 15000 orang pekerja.
Apple kini mempunyai 7000 orang pekerja di Austin melalui kilang pembinaan Mac Pro mereka, dan jumlah tersebut dikatakan akan meningkat secara mendadak apabila kampus tersebut disiapkan kelak.
Sama seperti kampus-kampus Apple yang lain, kampus terbaru ini akan dikuasakan secara sepenuhnya oleh tenaga lestari, terutamanya tenaga solar. Dalam pada itu, Apple juga akan bekerjasama dengan Bartlett Tree Experts untuk menanam semula pokok-pokok yang ditebang untuk membina kampus sebesar 133 ekar tersebut.