Cari @ Amanz

Jam tangan pintar hibrid menggabungkan jam analog dengan jarum fizikal dan skrin yang memaparkan notifikasi untuk pelbagai aktiviti. Dengan gabungan dua jam dalam satu, hayat bateri yang lebih bertahan lama boleh dinikmati bagi pengguna yang culas mengecas setiap hari. Pada hari ini Garmin melancarkan Vivomove 3, Vivomove S3 dan Vivomove Style di Malaysia.

Vivomove 3 dan Vivomove 3S dilengkapi skrin OLED kecil pada bahagian bawah muka jam. Perbezaan di antara kedua-dua model ini ialah Vivomove 3 mempunyai tubuh sebesar 44mm manakala Vivomove 3S mempunyai tubuh sebesar 39mm. Untuk mengaktifkan skrin OLED, pengguna hanya perlu mengangkat tangan atau menekan skrin sebanyak dua kali. Jarum jam kemudian akan bergerak ke angka 3 dan 9 bagi memastikan paparan notifikasi tidak dihalang.

Kedua-duanya mempunyai kemampuan mengesan nadi, tahap tekanan, kitaran haid, menjejak tidur dan tahap hidrasi tubuh. Tali jam silikon boleh digantikan dengan sebarang tali jam biasa sebesar 18mm. Dengan sekali caj, jam tangan hibrid ini boleh beroperasi sehingga lima hari. Akhir sekali ia mempunyai kemampuan kalis air sehingga 5 ATM.

Vivomove Style pula mempunyai dua skrin OLED pada bahagian atas dan bawah muka jam. Kesemua fungsi yang diberikan kepada Vivomove 3 dan 3S disertakan pada Style. Perbezaan terletak pada saiz tubuh sebesar 42mm. Kemampuan ketahanan kalis air serta bateri adalah setanding.

Di Malaysia Vivomove 3S  dijual pada harga RM1250, Vivomove 3 pada harga RM1250 dan Vivomove Style pula diantara RM1499-RM1750 bergantung kepada perbezaan warna serta bahan binaan tali jam.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd