Teknologi grafik Ray-Tracing ialah sebuah teknologi pengolahan grafik dimana efek cahaya seperti bayang-bayang dan pantulan objek dapat diperlihatkan secara sebenar yang mungkin. Ini bukanlah sesuatu yang baru, tetapi buat masa ini, hanya kad-kad grafik NVIDIA GeForce RTX mempunyai kebolehan untuk melakukannya pada masa yang nyata pada komputer desktop dan komputer riba gaming.
Sekarang, Huawei dan NetEase dilaporkan telah bekerjasama untuk membawa teknologi Ray-Tracing masa nyata ke peranti-peranti mudah-alih.
Dengan gabungan cip pemprosesan Hisilicon Kirin 990 dan sistem operasi EMUI terbaru daripada Huawei, NetEase telah menguji kebolehan Ray-Tracing tersebut menggunakan permua MMORPG terbaru mereka yang dinamakan Love is Justice.
Ini secara langsung bermaksud bahawa teknologi cip pemprosesan mudah-alih sudah cukup berkuasa untuk memperlihatkan kebolehan grafik yang maju seperti Ray-Tracing ke peranti-peranti mudah-alih.
Walaupun begitu, ciri Ray-Tracing masih memakan kuasa yang banyak terutamanya apabila permua tersebut digerakkan melalui kuasa bateri sahaja. Menurut Zeng Xiancheng, pengasas syarikat pembangunan permainan FYQD Studio, NetEase mungkin akan mengimplimentasi had kadar bingkai 30FPS dan untuk mengurangkan penggunaan kuasa CPU dan bateri dan memanjangkan jangkahayat peranti.
Demo untuk ciri Ray-Tracing pada permua Love is Justice ini diperlihatkan di sebuah acara pembangunan permainan di China, dan buat masa ini, NetEase masih belum mengumumkan bilakah ciri tersebut akan dimuatkan didalam permua mereka.