Cari @ Amanz

Trak pertama Tesla telah dilancarkan hari ini dengan nama Cybertruck. Penamaan kenderaan ini amat berlainan dengan kereta elektrik sebelum ini ialah Model S, Model 3, Model X dan Model Y. Ya nama model kereta akan mengeja perkataan SEXY dan harus diakui keempat-empat model yang dilancarkan setakat ini kelihatan agak seksi. Cybertruck kelihatan seperti sebuah lori yang dibina di dalam program perisian 3D dari dekad 80an. Ia mengingatkan kami kepada model kereta 3D dari permainan Virtua Racing yang popular dua dekad yang lalu.

Bahagian atap adalah tajam dan mempunyai banyak permukaan yang rata. Pilihan estetik ini disengajakan dengan permukaan yang rata tubuh kaca tahan karat Cybertruck direka untuk tahan dihentak dengan tukul Triple H dan tembakan dari pistol 9mm. Elon Musk berkata kaca yang digunakan juga lebih tahan lasak berbanding cermin kenderaan semasa.

Namun begitu ketika demo melontar bebola besi di atas pentas, cermin Cybertruck retak teruk sehingga menimbulkan kesipuan dan meme yang boleh anda lihat di media sosial.

Rekaan dalaman juga menggunakan tema bersegi dengan kerusi berkotak. Kabin boleh menempatkan lima penumpang, Sebuah skrin LCD sebesar 17″ diletakkan pada konsol tengah. Konfigurasi kabin adalah sama seperti yang digunakan pada Model 3. Keempat-empat tayar menggunakan sistem gantungan udara yang boleh dilaras. Elon menunjukkan demo menyimpan sebuah Quad-Bike pada bahagian belakang. Cybertruck menurunkan ketinggian belakang kenderaan secara automatik apabila tanjak terbina ditarik keluar dari pintu belakang.

Bagaimana pula dengan spesifikasi? Tiga model dilancarkan dengan pilihan satu, dua atau tiga motor elektrik. Model satu motor mampu menarik beban sehingga 3400 kg dan jarak operasi 402 km, Model dwimotor mampu menarik beban sehingga 4535 kg dan jarak operasi sehingga 482 km, Akhir sekali model trimotor mampu menarik beban sehingga 6350 kg dan jarak operasi sehingga 800 km.

Tesla Cybertruck menyokong pengecasan pantas SuperCharging dan sistem pemandau swapandu Autopilot. Pesanan dibuka dengan harga jualan di antara $39,900-69,900  (~RM167,000-292,000) sebuah. Walaupun dilancarkan hari ini, ia hanya akan mula diterima pelanggan pada tahun 2021.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd