Di rantau Asia Tenggara, Indonesia ialah negara dengan undang-undang paling kekat dikenakan ke atas pengeluar luar negara. Sekurang-kurangnya 30% komponen peranti atau perisian perlu dihasilkan di dalam Indonesia sebelum ia boleh dijual sejak 2017. Dengan ini kepentingan syarikat tempatan tidak akan terjejas dengan kemasukan syarikat luar. Langkah Indonesia ini nampaknya akan diikuti pula oleh Rusia tahun hadapan.
Undang-undang baharu telah diluluskan di Rusia di mana perisian buatan tempatan perlu disertakan di dalam peranti yang ingin dijual di negara mereka bermula Julai 2020. Selepas tempoh tersebut, pengeluar yang gagak mematuhinya akan diharamkan dari menjual peranti. Penyokong langkah ini melihatnya sebagai memastikan syarikat tempatan tidak akan ketinggalan sementara golongan yang membantah melihatnya sebagai cara perisian intipan mungkin akan terpasang pada peranti.
Apple mungkin berhadapan dengan masalah ini kerana mereka terkenal dengan keengganan meletakkan aplikasi terpasang dari pihak ketiga. iPhone hampir diharamkan di India kerana keengganan Apple meletakkan aplikasi anti-spam DND 2.0 yang dibangunkan oleh Telecom Regulatory Authority of India (TRAI). Apple mengharamkan aplikasi ini kerana ia melog panggilan telefon dan mesej yang diterima pengguna sekaligus melanggar garis panduan privasi Apple Store. Pada iOS 12 Apple menyertakan sistem saringan SPAM terbina sekaligus membolehkan iPhone terus dijual di India.
Google pula mungkin tidak akan berhadapan masalah kerana membenarkan Yandex menggantikan Search sebagai carian utama mengikut peratusan EU dan pemasangan aplikasi pihak ketiga secara terbina telah lama dilakukan.