Apa dan siapakah TCL? TCL adalah syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan peranti BlackBerry dan Alcatel. Selain itu, mereka juga ada menghasilkan telefon pintar jenama TCL – tetapi tidak begitu popular. Oh ya, tidak lupa juga yang TCL juga merupakan syarikat yang menghasilkan televisyen mampu milik yang dilihat setatak ini dipasarkan di Amerika Syarikat sahaja.
Tahun ini, mereka ingin cuba kembali menyertai arena telefon pintar dengan memperkenalkan TCL Plex dan beberapa lagi model lain yang akan dilancarkan di masa hadapan. Dalam artikel ini, akan saya ulas mengenai TCL Plex. Adakah ianya berbaloi dan patutkah anda membelinya?
Spesifikasi
TCL Plex | |
---|---|
Skrin | 6.53″ IPS LCD FHD+ |
Pemproses | Snapdragon 675 |
Cip | 2×2.0 GHz Kryo 460 Gold 6×1.7 GHz Kryo 460 Silver |
Cip Grafik | Adreno 612 |
RAM | 6GB |
Storan Dalaman | 128GB UFS 2.1 (MicroSD 256GB) |
Kamera Utama | 48MP f/1.8 (utama) 16MP f/2.4 (sudut ultra lebar) 2MP f/1.8 (pengoptimasian rakaman video) |
Kamera Depan | 24MP f/2.0 |
Bateri | 3,820mAh 18W QC3.0 |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano (Talam Hibrid) |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tidak |
Kalis Air | Tidak |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari klasik |
Harga Jualan | RM1,199 |
TCL Plex adalah peranti yang berada dalam kategori kelas pertengahan. Peranti ini menggunakan skrin 6.53-inci FHD+ IPS LCD dengan teknologi dari televisyen mereka – NXTVISION. Skrin LCD sememangnya tidak sehebat OLED, tetapi dengan teknologi NXTVISION ini ia menjadikan skrin peranti TCL PLEX amat hebat dan berada di luar jangkaan. NXTVISION adalah teknologi yang TCL gunakan pada televisyen mereka. Ia merupakan satu sistem yang boleh mengubah apa jua kandungan video dari SDR ke HDR. Tidak kira aplikasi YouTube, VLC, Netflix atau lain-lain, perubahan kualiti warna video dan butiran adalah amat berbeza. Cara mudah faham adalah, NXTVISION mengaplikasikan penuras HDR kepada skrin peranti apabila video mula dimainkan. Sistem ini juga mempunyai mod membaca yang boleh menyesuaikan warna atau kecerahan skrin peranti agar sesuai dengan pengguna.
Pengalaman penggunaan skrin TCL PLEX memang lain daripada yang lain. Agak kecewa kerana ia menggunakan LCD, jika skrin OLED pasti ia akan menjadi lebih gempak dari biasa. Apabila saya menonton filem/siri TV di Netflix, kualiti kandungan adalah standard skrin LCD dan langsung tidak menarik. Tetapi sebaik sahaja NXTVISION dihidupkan, kualiti skrin menjadi cantik dan menonton sesuatu memberikan pengalaman yang mengasyikkan.
Untuk aplikasi VLC, menonton video secara strim atau menyemak video-video luar talian yang dimuat turun, rakaman dari peranti lain atau sebagainya mempunyai sedikit masalah. Apabila menggunakan NXTVISION, video akan berkelip-kelip dari SDR ke HDR secara rawak dan tidak boleh dijangka bila ia akan berlaku. Ini mungkin aplikasi VLC yang tidak menyokong atau pengoptimasian sistem tidak sempurna.
Peranti ini dijana dengan cip pemproses dari Qualcomm Snapdragon 675 dan dipadankan dengan memori 6GB RAM dan storan dalaman 128GB berasaskan UFS 2.1. Prestasi sedikit mengecewakan kerana cip ini adalah cip yang kurang berkuasa. Untuk peranti yang dilancarkan pada suku akhir 2019, cip ini tidak sesuai. Pendapat saya, Snapdragon 710 adalah lebih baik. Prestasi pada peranti ini adalah kurang menarik dan lengah masa boleh dirasai apabila buka/tutup/tukar aplikasi. Peralihan animasi juga ada sela masa yang menjadikan pengalaman penggunaan peranti ini kurang memuaskan.
Walaupun mempunyai RAM sebesar 6GB, ia seakan tidak membantu untuk mempercepatkan lagi proses peranti ini. Untuk storan, TCL masih menggunakan storan berasaskan UFS 2.1. Storan dalaman juga hanya 128GB, yang mana tidak cukup jika benar peranti ini untuk penstriman video atau menonton video. Tetapi syukur, ada slot kad microSD sehingga 256GB dan Netflix menyokong menyimpan kandungan luar talian ke storan luaran. UFS 2.1 tidak begitu pantas, jika dibandingkan dengan UFS 3.0 – tetapi untuk peranti dalam kelas ini ia sudah memadai.
Apabila bermain permua pula, peranti ini boleh mampu sahaja beroperasi dengan baik. Tetapi, prestasi adalah tidak sehebat peranti lain – mungkin dari segi pengoptimasian sistem operasi. Peranti juga akan sedikit memanas dan secara tidak langsung menjadikan prestasi peranti semakin lemah.
Untuk sekuriti, peranti ini masih menggunakan pengimbas cap jari klasik. Di belakang peranti, terdapat pengimbas cap jari fizikal seperti peranti yang dilancarkan sekitar dua tahun lepas. Walau bagaimanapun, pengimbas cap jari ini tidak pantas dan mengambil masa yang agak lama untuk menyahkunci peranti. Ya, ada alternatif lain seperti pengecaman wajah – tetapi sekuritinya tidak ketat dan ia juga amat perlahan.
Kamera
Kamera utama peranti ini menggunakan sistem tiga lensa yang menggabungkan lensa utama 48MP + 16MP lensa sudut ultra lebar + 2MP lensa untuk membantu rakaman video menjadi lebih berkualiti. Peranti hebat di skrin sahaja, kerana kualiti kamera adalah amat teruk. Sangat mengecewakan dan langsung tidak berkualiti. Hasil imej apabila gambar terus diambil tanpa mengubah sebarang tetapan adalah begitu lembut untuk gambar manusia. Kemudian, butiran juga adalah tidak menarik dan apabila mematikan mod kecantikan – kualiti sedikit lebih baik tetapi langsung tidak memuaskan.
Untuk kualiti sudut ultra lebar pula adalah baik-baik sahaja, tetapi hanya akan mempunyai kualiti baik jika berada dalam keadaan cahaya yang baik. Kamera pada peranti pula mempunyai masalah fokus yang agak ketara. Apa yang kami perasan adalah, fokus akan lari apabila suasana tidak mempunyai cahaya yang cukup. Untuk gambar dalam keadaan cahaya yang kurang pula, walaupun ada mod malam tersendiri – kualitinya adalah sangat teruk. Terlampau banyak hingar, tidak berkualit, gambar pecah dan butiran langsung lari.
Kamera swafoto adalah 24MP dan ia mempunyai kualiti yang jauh lebih baik dari kamera belakang. Hasil swafoto adalah kemas dan boleh diterima. Akan tetapi kadang kala, cahaya di latar belakang terlampau terdedah dan menjadikan hasil gambar seakan tiada butiran untuk latar belakang. Walaupun banyak perkara negatif pada kamera TCL PLEX, ada kebaikannya juga dari segi perisian. Aplikasi kamera TCL PLEX boleh memaparkan pandaangan dari kesemua lensa serentak dan pengguna hanya perlu tekan salah satu paparan untuk terus ke mod kamera berkenaan.
Bateri
Bateri peranti ini hanya 3820mAh yang mana untuk sebuah peranti hiburan, sepatutnya adalah 4000mAh ke atas. Walaupun tidak mencapai 4KmAh, SOT yang dicapai pada peranti ini adalah melebihi 6 Jam sehari. 6 Jam sehari ini adalah penstriman sahaja, dan belum lagi sepenuhnya menonton video di luar talian. Jangka hayat bateri TCL PLEX adalah baik-baik sahaja dan memuaskan. Sistem pengecasan pantas adalah 18W berasaskan Quick Chrage 3.0, yang mana adalah satu sistem pemgecasan pantas yang sudah lapuk. Sepatuynya ia boleh mengecas dari 0%-50% dalam masa tiga puluh minit. Tetapi dalam ujian yang kami lakukan, ia mengambil sedikit lebih lagi masa. Dari 0%-100% adalah menghampiri 2 jam.
Rekaan
Seperti banyak peranti kelas pertengahan lain, TCL PLEX cuba menjadi peranti premium. Dari jauh ia tampak kemas, unik dan lain daripada yang lain (kononnya). Ia dibina dari kaca untuk panel belakang dan hadapan, tetapi bingkai adalah dari bahan plastik. Peranti ini tidak dinafikan memang nampak lain, tetapi sebenarnya tidak. Rekaan belakang adalah seakan Huawei Mate 10, tetapu susunan kamera adalah mendatar dan lurus dan bukannya bertindih atas dan bawah. Pada panel belakang, walaupun kaca ia terasa seakan plastik dan murah. Di tangan ia tidak terasa seperti sebuah peranti yang premium. Jika banyak sangat keluhan mengenai rekaan peranti ini, kenapa ianya unik?
Warnanya adalah biru dengan kilauan pelangi yang tidak kelihatan terlampau cerun seperti perant-peranti lain. Ia tampak kemas dan cantik. Kamera juga tiada bonjol dan hampir rata, jadi apabila letak di atas permukaan yang rata seperti meja – ia tidak terjungkit. Di bawah kamera terdapat pengimbas cap jari dan bawahnya pula adalah logo TCL. Di sisi kanan adalah butang kuasa dan butang aras suara, manakala sisi kiri adalah butang menyeru Google Assistant atau boleh ditetapkan dengan apa jua aplikasi serta dengan slot kad SIM.
Di bahagian atas terdapat mikrofon, port bicu audio dan menghampiri skrin adalah earpiece. Kemudian di bahagian bawah adalah kekisi pembesar suara dan port USB-C. Pada skrin ia kelihatan sedikit seksi kerana, ia tidak menggunakan sebarang takuk atau dahi tebal – sebaliknya adalah rekaan skrin berlubang. Sedikit mengecewakan yang dagu pada peranti adalah tebal dan tidak seronok untuk dipandang.
Sistem Operasi 
Sistem operasi yang digunakan adalah TCL UI, iaitu antaramuka mereka yang tersendiri. Ia adalah berasaskan Android 9.0 Pie, dan sistem operasi mempunyai terlampau banyak aplikasi gendut. Syukur kebanyakannya bholeh dibuang yang mana itu adalah perkara pertama kami lakukan apabila menerima peranti ini. Secara keseluruhan, TCL UI adalah menggampiri dengan Android asli – tetapi masih mempunyai ikon dan gabungan warna yang terlampau meriah.
Untuk aplikasi gendut tadi, yang tidak berjaya dibuang adalah Support Center. Ia adalah hab untuk perkhidmatan pelanggan. Di dalamnya ada manual penggunaan, hubungi khidmat pelanggan, diagnosis peranti dan juga menyemak butiran peranti. Berikut adalah beberapa fungsi lain yang terbina dalam peranti ini.
Sistem operasi ini berfungsi dengan baik dan ringkas sahaja. Ia tidak begitu susah untuk faham dan hanya beberapa jam sahaja, segala selok-belok fungsi/ciri/tetapan peranti sidah boleh dihafal dan faham. Walaupun tidak mempunyai prestasi yang hebat, skor tanda aras pada peranti ini dilihat agak baik. Skor yang diterima melalui AnTuTu adalah melebihi 200K dan untuk Geekbench 5 pula ia memperlihatkan skor yang tidak mengecewakan. Jika anda keliru kenapa skor baik tetapi pengalaman penggunaan tidak, ini kerana skor tanda aras hanya daripada simulasi sahaja dan bukannya penggunaan sebenar di dunia realiti.
Audio
Skrin sudah baik, prestasi yang biasa-biasa sahaja dan kamera pula sudah mengecewakan – bagaimana dengan audio? TCL PLEX menggunakan sistem pembesar suara mono. Ia tidak begitu kuat dan baik-baik sahaja. Kualitinya berada di tahap yang boleh diterima tetapi tidak memuaskan. Ini kerana, peranti ini adalah untuk hiburan menonton video. Jika skrin sahaja baik, tetapi audio tidak memuaskan – ia adalah perkara yang tidak lengkap untuk peranti yang memfokuskan hiburan.
Nasib baik, pembesar suaranya apabila ditetapkan pada aras suara yang maksima ia tidak pecah dan masih seimbang. Mungkin sebab itu ia tidak begitu kuat? Pembesar suaranya mempunyai kurang bass, jadi apabila menonton video aksi yang mempunyai banyak letupan atau tembakan – dentumannya tidak cukup membuatkan perasaan yang menarik.
Kesimpulan
TCL PLEX dijual apda harga RM1,199 secara rasmi di Malaysia. Harga melebihi RM1K untuk peranti yang tidak mempunyai kamera dan dijana Snapdragon 675, harga jualannya adalah mahal. Pertama sekali, skrinnya adalah LCD dan bukannya OLED. Kemudian, sistem operasinya tidak cukup bagus, kamera mempunyai kualiti yang sangat teruk, dan secara keseluruhan adalah menghampakan.
Dalam lingkunagan harga RM1,199 ini, pada kami Mi 9T adalah lebih berbaloi. Skrin OLED, cip pemprosesan adalah Snapdragon 730 dan mempunyai kamera yang hebat. Rekaan juga adalah lebih seksi. Oleh yang demikian, maaf peminat jenama TCL (ada ke?) – peranti ini tidak berbaloi untuk dimiliki. NXTVISION adalah satu gimik yang cuba memasarkan kononnya peranti ini meounyai teknologi skrin seakan sebuah televisyen. Jadi, jadilah pengguna bijak dan fikir baik-baik, kaji baik-baik mana satukah peranti yang benar-benar berbaloi.
KELEBIHAN | KEKURANGAN |
|
|