Carian
NVIDIA Akan Memperkenalkan Sokongan Untuk Teknologi G-SYNC Bagi Kad Grafik AMD Radeon Tidak Lama Lagi
November 26, 2019 Nazrin

Apabila bercakap mengenai teknologi kadar segar-semula paparan, dua teknologi yang sering diperkatakan ialah NVIDIA G-SYNC dan juga AMD FreeSync.

Sebelum ini, pihak NVIDIA telah mengeluarkan kemaskini yang membolehkan kad-kad grafik NVIDIA mengaktifkan sokongan G-SYNC tersebut menggunakan paparan-paparan AMD FreeSync ataupun Adaptive Sync terpilih.

Terkini, NVIDIA telah mengumumkan bahawa mereka akan membuka sokongan untuk paparan-paparan G-SYNC kepada kad-kad grafik AMD pula, untuk model-model paparan G-SYNC yang akan datang.

Menurut laporan TFT Central, ciri segar-semula berubah (variable refresh rate) paparan G-SYNC sekarang hanya boleh diakses melalui palam DisplayPort. Paparan-paparan G-SYNC akan datang akan hadir dengan ciri HDMI-VRR yang membolehkan ciri tersebut digunakan menggunakan kabel HDMI.

Ini bermakna bahawa tidak lama lagi, para pengguna komputer yang menggunakan kad grafik AMD boleh membeli paparan dengan sokongan G-SYNC dan mendapatkan semua manfaat-manfaat teknologi paparan tersebut. Dalam pada itu, konsol-konsol permainan yang hadir dengan sokongan HDMI-VRR ini juga akan dapat menggunakan paparan G-SYNC untuk memainkan permainan-permainan video.

Komen