Cari @ Amanz

vivo S1 adalah peranti vivo pertama dalam siri S. Ia dilancarkan pada bulan Julai lepas dan ia berada dalam kategori peranti kelas-pertengahan premium mampu milik. Dalam ujian kami, ia membawakan nilai yang agak baik dalam kelasnya, lebih-lebih lagi pengimbas cap jari bawah skrin yang amat pantas seakan sebuah peranti mercu. Baru-baru ini, vivo telah hadir dengan peranti baru dalam siri S ini – iaitu vivo S1 Pro.

Adakah ia benar-benar pro? Apa bezanya dengan vivo S1 yang biasa? Peranti ini telah hadir ke makmal Amanz dan kami telah mengujinya dalam masa yang singkat untuk memberi pendapat. Jadi, ini adalah artikel pandang pertama kami mengenai vivo S1 Pro. Ingin tahu keunikannya? Teruskan membaca.


Spesifikasi

vivo S1 Pro menggunakan skrin 6.38-inci Super AMOLED dengan rekaan takuk kecil. Di bawah skrin ini terletaknya pengimbas cap jari bawah skrin jenis optikal dan di belakang terletaknya sistem kuad-kamera yang menggabungkan lensa 48MP + 8MP + 2MP+2MP. Manakala kamera swafoto pula adalah lensa 32MP.

Peranti dikuasakan dengan cip pemprosesan Snapdragon 665 dan dipadankan dengan memori 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Untuk audio, ia masih mengekalkan port bicu audio 3.5mm dan mempunyai pembesar suara mono. Tidak seperti vivo S1 yang menggunakan port pengecasan microUSB, vivo S1 Pro menggunakan port USB-C. Bateri pula berkapasiti 4500mAh dan menyokong pengecasan pantas 18W.

Pengalaman Penggunaan

Skrin Super AMOLED tidak dinafikan adalah panel skrin yang baik. Sama seperti vivo S1, vivo S1 Pro juga menggunakan panel yang sama. Warna dalam video HDR agak tajam, butirannya memuaskan, cuma warnanya tidak cukup cantik dan terang. Membezakan peranti ini dengan vivo S1 adalah tahap kecerahan yang telah dinaiktaraf menjadi lebih terang. Jadi ia sesuai digunakan di kawasan luar bangunan atau di bawah cahaya matahari yang terik.

Peranti ini menjalankan FuntouchOS 9.2 berasaskan Android Pie. Antaramuka baharu FuntouchOS 9 boleh dikatakan mempunyai banyak perubahan dan lebih kemas, tetapi penulisan teks masih tidak selari. Lain-lain adalah lebih kurang sama, bagi yang kerap menggunakan peranti Vivo akan mudah menggunakan peranti ini tanpa sebarang masalah. Tidak lupa juga yang FuntouchOS 9.2 ini turut membawakan perubahan antaramuka yang lebih dimampatkan dan kurang serabut. Prestasi Snapdragon 665 pada peranti ini adalah baik-baik sahaja. Dalam percubaan yang ringkas ini, peranti ini mempunyai masalah lengah masa yang tidak begitu teruk. Ia adalah lengah masa kecil yang boleh diterima, kerana masalahnya lebih kepada peralihan animasi sahaja. Apabila membuka aplikasi/tutup/tukar dan sebagainya, ia mempunyai prestasi yang cukup memuaskan.

Prestasi seperti ini mungkin tidak akan digemari oleh semua, tetapi peminat vivo akan faham dan akan menerimanya. Dalam ujian tanda aras AnTuTu, vivo S1 Pro mendapat  skor sebanyak . Manakala, skor Geekbench 5 pula adalah . Berdasarkan skor sahaja, ia mempunyai peningkatan yang banyak berbanding model sebelumnya.

Pembesar suara mono pada peranti ini boleh dikatakan agak kuat. Pada aras suara paling tinggi pula, ia tidak lagi pecah dan bingit seperti vivo S1. Pengalaman mendengar muzik dari peranti ini akhirnya memberikan satu pengalaman yang baik.

Kamera

Kamera utama vivo S1 Pro menggabungkan lensa 48MP sebagai lensa utama, lensa 8MP sebagai lensa ultra lebar, lensa 2MP untuk kedalaman dan 2MP lensa makro. Adakah kualitinya baik? Saya akan bandingkan dengan vivo S1. Banyak penambahbaikan, namun ia masih tidak sehebat pesaing. Lebih-lebih lagi pada bahagian mod bokeh, ia tidak kabur dan seolah mengambil gambar biasa sahaja. Lensa 48MP pula terlebih tajam dan AInya melakukan pasca-proses yang agak lemah. Ia lebih kepada menambah penuras sahaja dan bukannya memproses menjadi imej yang lebih baik.

Untuk swafoto, peranti ini dilihat mempunyai butiran yang sedikit lebih baik. Kini ada mod Natural dan Fresh pula, memberi pengguna pilihan mod kecantikan yang lebih semula jadi atau yang lebih segar. Seperti biasa, kamera swafoto tidak mampu menapis gambar latar dengan baik dan ia lebih terdedah dengan cahaya.

Rekaan

Pada vivo S1 Pro, vivo telah membuang butang fizikal untuk Google  Assistant. Jadi di bahagian kiri, hanya terdapat slot kad SIM sahaja. Di bahagian kanan pula, vivo menggunakan butang kuasa berwarna yang mana trend ini sudah semakin menjadi-jadi. Di atasnya pula adalah butang aras suara. Dukacita dimaklumkan yang butang ini tidak enak untuk ditekan dan ia terasa longgar dan seakan mudah ditanggalkan.

Beralih ke bahagian bawah, terdapat  kekisi pembesar suara, port USB-C dan mikrofon. Di bahagian atas pula terdapat satu lagi mikrofon dan port bicu audio 3.5mm. Ini adalah satu perkara yang pasti ramai inginkan, kerana masih tidak ramai pengguna bersedia dengan penggunaan audio nirwayar. Untuk bahagian hadapan, ia menggunakan skrin yang dilindungi dengan kaca. Rekaannya adalah takuk kecil yang bulat seperti takuk Essential Phone, tetapi lebih pendek. Bezel kiri dan kanan agak nipis, tetapi sayang sekali dagunya sangat tebal dan perkara ini membuatkan rekaan kelihatan tidak sekata.

Bahagian yang paling unik adalah panel belakang vivo S1 Pro. Ya, ia menggunakan bahan binaan kaca. Di bahagian bawah terdapat logo vivo dengan perkataan “camera & music”. Di bahagian atas adalah modul kamera yang lain daripada yang lain. Kameranya mempunyai bonjol, tetapi tidak tebal dan berada di tahap yang boleh diterima. Modul kamera ini pula berbentuk berlian dan sangat unik. Tiga lensa disusun secara menegak dan lensa keempat diletak di bahagian kanan sisi. Lampu LED  flash pula berada di bawah modul kamera ini.

Jujur saya katakan yang, rekaan kamera ini bukan sahaja unik tetapi aneh juga. Ia kelihatan seperti pelekat kamera palsu ditampal. Tetapi bagi membezakan identiti peranti ini dengan vivo S1, rekaan haruslah berlainan.


vivo S1 Pro belum lagi dilancarkan di Malaysia secara rasmi. Jadi sewaktu artikel ini ditulis, tiada lagi harga rasmi yang pihak vivo berikan. Menjadi persoalan sebenar, apa yang pro terhadap peranti ini? Jujur saya katakan tiada langsung perkara yang pro pada peranti ini, maaf vivo. Modul kamera kelihatan pelik, apa salahnya gunakan sahaja rekaan segi empat. Kemudian, spesifikasinya tidak begitu pro. Sekurang-kurangnya, gunakanlah cip Snapdragon 7xx atau Snapdragon 675. Ataupun kekalkan sahaja yang lain, tetapi sertakan teknologi pengecasan pantas vivo Super FlashCharge.

Mungkin peranti ini bukan untuk semua, tetapi kita kena tunggu harganya terlebih dahulu. Harap harganya tidak terlalu mahal dan perlu berada dalam RM1K-RM1.2K, jika lebih ia tidak berbaloi. Di pasaran sekarang, peranti dalam lingkungan harga RM1.2K adalah Mi 9T yang paling berbaloi.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd