HP Spectre x360 13 Dengan Kemaskini CPU Intel Core Generasi Kesepuluh Kini Boleh Dibeli Bermula Harga RM5499
HP

HP Spectre x360 13 Dengan Kemaskini CPU Intel Core Generasi Kesepuluh Kini Boleh Dibeli Bermula Harga RM5499

Diterbitkan pada November 27, 2019 oleh .

Siri komputer riba HP Spectre x360 ialah komputer riba boleh-lipat yang biasanya hadir dengan spesifikasi yang berkuasa, dan sering digunakan oleh golongan eksekutif yang memerlukan sebuah peranti yang boleh memberikan mereka produktiviti tanpa kompromi.

HP Spectre x360 13 terbaru ini dikemaskini dengan komponen-komponen terbaru, seperti CPU Intel Core generasi kesepuluh, termasuklah pilihan Intel Core i5-1035G4 ataupun Intel Core i7-1065G7, memori DDR4 sebanyak 16GB, bersama-sama dengan storan SSD Intel Optane sebesar 1TB ataupun 2TB.

Paparan 13 inci komputer riba ini pula mempunyai resolusi 4K, dan seperti yang tertera pada namanya, ia boleh dipusingkan secara 360 darjah untuk menukarkan bentuknya daripada sebuah komputer riba ke sebuah tablet.

Mengukuhkan peranti Spectre x360 13 ini pula ialah rangkanya yang diperbuat daripada satu bongkah aluminum, dan juga kaca Corning Gorilla Glass 5 yang mengurangkan kebarangkalian paparan skrin dicacati calaran dan sebagainya.

Spectre x360 ini turut mengekalkan rekaan potongan berlian mereka, dan memuatkan salah satu bucunya dengan palam pengecas yang mudah untuk diingati.

HP menjanjikan ketahanan bateri selama 22.5 jam dengan satu pengecasan penuh, dan hadir dengan ciri pengecasan pantas yang membolehkan bateri tersebut dicas dari kosong hingga separuh penuh dalam masa 30 minit sahaja.

Selain dari itu, Spectre x360 13 ini juga mempunyai ciri-ciri lain seperti pengimbas cap jari, sokongan untuk WiFi 6 dan ciri paparan HP Sure View yang menyulitkan paparan anda supaya orang lain disebelah anda tidak boleh melihat apa yang anda sedang lakukan.

Menurut HP Malaysia, komputer riba boleh-lipat HP Spectre x360 13 ini sudah memasuki pasaran tempatan pada harga permulaan RM5499.



TIPS & ULASAN