Honor Band Sport adalah penjejak kesihatan daripada Honor yang lebih murah berbanding Honor Band yang biasa. Siri produk Honor Band ini boleh dikatakan adalah pesaing kepada jenama lain yang lebih terkenal seperti Xiaomi dengan Mi Band mereka. Jika Xiaomi yang sudah lama berkecimpung dalam arena peranti boleh pakai, adakah Honor mampu menandingi Xiaomi? Produk terkini Honor adalah Honor Band 5 Sport. Siri Sport untuk Honor Band lebih memfokuskan kepada pergerakan dan saya telah menggunakan peranti boleh pakai ini dalam masa beberapa minggu untuk alami kehebatan Honor Band 5 Sport ini.
Kejap, adakah ia benar hebat? Kenapa ianya lebih murah? Apa yang anda perlu tahu adalah, Honor Band 5 Sport ini menggunakan skrin hitam dan putih, mempunyai dua acara pakai dan mempunyai ketahanan bateri sehingga 14 hari lamanya. Dalam tempoh penggunaan saya, saya agak berpuas hati dengan penjejak kesihatan ini. Tetapi, ada perkara yang membuatkan saya tidak gemar memakainya dalam tempoh masa yang lebih lama. Dalam artikel ini, saya akan ceritakan pengalaman penggunaan saya dengan Honor Band 5 Sport.
Spesifikasi
Honor Band 5 Sport menggunakan skrin PMOLED bersaiz 0.5-inci, mempunyai butang kapasitif terbina untuk dikawal dengan cara sentuhan, sensor 6-paksi untuk tujuan penjejakan, dua cara pemakaian iaitu di tangan atau gunakan sahaja penyesuai yang diberi untuk dipasang pada kasut dan ia juga mempunyai perlindungan kalis air 50 meter yang boleh dibawa untuk berenang. Seperti ada yang tertinggal bukan? Jika anda tertanya di mana sensor pengimbas nadi? Jawapannya, tiada. Honor Band 5 Sport atau nama lain di pasaran adalah Honor Band 5 Basketball Edition. Ia lebih kepada pedometer yang lebih pintar dan tidak lebih dari itu.
Skrin PMOLED tidak berapa cantik dan setiap pixel pada paparannya boleh dilihat. Walaupun berwarna hitam dan putih, setiap kali pandang skrinnya kelihatan ada yang kurang. Di bawah cahaya matahari, skrinnya jelas sahaja dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk dilihat. Begitu juga dalam keadaan yang tidak banyak cahaya, seperti dalam pejabat/bilik tidur dan lain-lain. Pada pendapat saya, Honor Band 5 Sport ini boleh lebih murah, jika Honor menggunakan sahaja skrin e-ink – yang mana akan mempunyai paparan yang lebih memuaskan dan ketahanan bateri pasti akan meningkat.
Saiz skrin 0.5-inci tidaklah begitu kecil, untuk peranti seperti ini ia boleh diterima sahaja dan mereka yang tidak kisah akan kualiti skrin akan pasti bahagian dengannya. Sensor 6-paksi? Untuk apakah? Seperti yang saya katakan tadi, ia adalah peranti boleh pakai yang lebih memfokuskan pergerakan. Jadi, sensor ini mampu menjejak langkah, lompatan, larian, dan pelbagai aktiviti lain lagi yang agak tepat. Namun, sensornya adalah terlampau sensitif. Ini kerana apabila tiada aktiviti yang dilakukan, pergerakan yang banyak turut dikesan. Ini amat mengganggu rekod senaman yang mana secara tidak langsung akan membuatkan kiraan kalori terbakar tidak tepat.
Dua cara pemakaian?
Penggunaan di tangan adalah biasa-biasa sahaja, dan ia adalah standard untuk peranti seperti ini. Tetapi pemakaian di kasut? Ini adalah lain daripada yang lain. Pada saya, Honor sebenarnya meniru Xiaomi sahaja. Bagi yang tidak tahu, Xiaomi ada menghasilkan kasut pintar. Kasutnya mempunyai satu ruang khas untuk meletakkan peranti seakan Mi Band 1, hanya untuk tujuan menjejak pergerakan. Jadi, Honor mengubah konsep dengan meletakkan Honor Band 5 Sport ini pada tali kasut.
Dengan cara pemakain seperti ini, setiap data yang direkod akan lebih tepat. Jadi apa jua sukan, larian, aktiviti atau joging yang dilakukan – data yang direkod akan lebih selari dengan kiraan kalori. Bagaimana memakai Honor Band 5 Sport ini pada kasut? Honor ada menyertakan penyesuai yang mudah digunakan. Ia lebih seakan sebuah kerangka sahaja, dengan ruang untuk diselitkan pada kasut. Honor Band 5 Sport ini juga didatangkan dengan tali diperbuat daripada fabrik elastik bersama-sama dengan ruang meletakkan peranti ini sendiri yang diperbuat daripada silikon keras. Jadi bertukar-tukar daripada di tangan dan ke kasut adalah mudah sahaja.
Ketahanan bateri?
Saya menggunakan Honor Band 5 Sport ini kira-kira dua minggu sahaja. Apa yang Honor dakwa, iaitu bateri bertahan sehingga 14 hari – dapat saya sahkan. Ia memang benar-benar bertahan. Sudahlah saya hidupkan semua notifikasi, menggunakan semua fungsi dan saya bawanya ke Langkawi untuk aktiviti yang lasak. Baki bateri sebelum saya membuat draf artikel ulasan ini adalah bawah 10% daripada hari memakai bateri 100%. Cara pengecasan tidak saya gemar dan menyusahkan.
Peranti ini perlu dicabut dari talinya dan menggunakan dermaga pengecasan berasaskan USB ke sambungan tersendiri. Ya benar, lebih kurang sama dengan Xiaomi – tetapi Xiaomi membuatkan proses pengecasan Mi Band mereka lebih efisien. Dermaganya juga hanya berfungsi kadangkala sahaja dan agak longgar. Secara tidak langsung membuatkan proses pengecasan lebih menyakitkan hati.
Rekaan
Honor Band 5 Sport ini mempunyai rekaan standard bagi sebuah penjejak kesihatan. Tidak kira Samsung, Honor atau Xiaomi – rekaannya adalah lebih kurang sama sahaya. Honor Band 5 Sport ini mempunyai rekaan yang ringkas dan sedikit bersegi. Apa yang menarik dengan rekaannya adalah, apabila dimasukkan ke talinya – ia mempunyai lengkungan yang selesa dipakai pada tangan. Saya tidak pernah sekali pun melaras kedudukan peranti ini di tangan untuk memastikan keselesaan saya. Tidak kira apabila basah atau kering, perasaan memakai membuatkan saya tidak kisah apa jua keadaannya.
Ini adalah terima kasih kepada tali fabrik elastik. Bukan sahaja selesa, tetapi juga mudah dilaraskan. Selepas melaras, ia berfungsi seakan gelang tangan sahaja. Jika dibandingkan dengan Xiaomi, yang menggunakan tali silikon – ia tidak selesa di tangan lebih-lebih lagi apabila basah. Saya juga kerap melaras posisi Mi Band di tangan dan kadangkala terus menanggalkan bagi memberi ruang kulit saya bernafas agar pengalaman memakai lebih selesa.
Aplikasi
Disebabkan Honor berkait rapat dengan Huawei, mereka tiada aplikasi tersendiri untuk mana-mana peranti boleh pakai mereka. Aplikasi yang perlu digunakan untuk tujuan pemantauan data, tetapan dan lain-lain adalah Huawei Health. Aplikasinya mempunyai antaramuka yang kemas, ringkas dan mudah difahami. Terdapat tiga bahagian sahaja, iaitu Home yang memaparkan data keseluruhan, Discover untuk pemantauan yang lebih terperinci atau menyelarikan dengan aplikasi pihak ketiga dan Devices untuk lihat segala peranti boleh pakai yang telah ditambat dan membuat tetapan tambahan.
Akan tetapi, aplikasi ini begitu ringkas seperti tiada apa-apa langsung. Ya, memang memudahkan – tetapi amat berbeza dengan Xiaomi. Mungkin sebab saya sudah biasa dengan ekosistem Xiaomi, jadi saya berasa janggal dengan ekosistem Huawei/Honor ini. Setiap data yang dipaparkan amat jelas dan mudah dibaca. Paparan graf juga menarik dengan penggunaan pelbagai warna, cuma ia tidak memaparkan data-data lama dari Honor Band yang lain. Saya pernah sahaja menggunakan Honor Band lain dengan akaun yang sama, tetapi semua data langsung tidak terpapar. Jika aplikasi Mi Fit untuk Mi Band, ia masih simpan data-data dari Mi Band 1.
Masalah paling besar…
Peranti ini bukannya penjejak kesihatan sebenar. Saya berani katakan begitu kerana ia tidak mempunyai pengimbas nadi. Jadi apa yang sihatnya? Bukan itu sahaja, ia juga mendakwa boleh merekod kualiti tidur. Jika tiada pengimbas nadi, cara ia merekod tidur adalah lebih daripada pergerakan ketika sedang tidur. Jika tidak banyak bergerak, bermakna nyenyak. Manakala jika tidur lasak, bermakna tidak nyenyak. Data yang direkod juga berbeza dengan Mi Band atau mana-mana jam tangan pintar lain.
Kesimpulan
Honor Band 5 Sport adalah pedometer yang baik. Ya, saya gelarnya pedometer dan bukannya penjejak kesihatan. Skrin juga tidak begitu cantik, getaran apabila menerima notifikasi adalah lemah, dan sensor yang terlampau sensitif apabila berada di tangan. Honor Band 5 Sport bukanlah untuk semua. Saya yakin tidak ramai akan gemar akan peranti ini. Harga pula adalah RM79, yang mana dengan harga ini Mi Band 3 sudah boleh dibeli.
Mi Band 3 jauh lebih berbaloi dan mempunyai lebih banyak fungsi menarik. Honor Band 5 Sport ini lebih mengingatkan saya kepada Xiaomi Mi Band yang pertama, ia tiada skrin, mempunyai getaran yang lemah tetapi masih mempunyai pedometer. Jadi, Honor Band 5 Sport ini adalah seakan Mi Band 1 dengan skrin.
Kelebihan | Kekurangan |
|
|