Carian
Ulasan: OnePlus 7T Pro McLaren Edition – Alah Membeli, Menang Memakai
December 5, 2019 Fahim Zahar

OnePlus tahun ini boleh dikatakan tahun gila mereka. Mereka bukannya hasilkan dua peranti setahun, tetapi tahun ini ada 7 jenis peranti yang berbeza iaitu; OnePlus 7, OnePlus 7 Pro, OnePlus 7 Pro 5G, OnePlus 7T, OnePlus 7T Pro, OnePlus 7T Pro McLaren Edition & OnePlus 7T Pro McLaren Edition 5G. Semasa OnePlus 7 diperkenalkan, ia langsung tidak menarik perhatian dan hanyalah sebuah OnePlus 6T yang sedikit ditambah baik. Manakala, berbeza dengan OnePlus 7 Pro yang mempunyai kejutan kuar biasa. Skrin melengkung, kadar segar semula setinggi 90Hz, pengecasan pantas 30W, kalis percikan dan prestasi kamera yang mengujakan.

Dengan kejayaan OnePlus 7 Pro, OnePlus membawakan kehebatan itu kepada OnePlus 7T pula. Dari hadapan seakan OnePlus 7, tetapi rekaan belakang menggunakan bonjol kamera mesin basuh, kualiti kamera yang lebih hebat dengan sokongan makro, prestasi  berkali ganda meningkat dengan Snapdragon 855+, serta skrin 90Hz. Jika 7T sudah hebat, bagaimana pula dengan 7T Pro? Jika 7T Pro tidak cukup Pro, ada lagi yang paling mahal dan paling berkuasa – OnePlus 7T Pro McLaren Edition. Saya sudah menggunakan peranti ini sebagai peranti harian saya lebih sebulan dan pada saya, ini adalah peranti yang patut OnePlus hasilkan dari awal lagi. Untuk ketahui lanjut, ini adalah artikel ulasan dan silakan baca sehingga akhir.


Spesifikasi

OnePlus 7T Pro McLaren Edition
Skrin 6.67″ 3120 x 1440  pixel
90Hz Fluid Display AMOLED, HDR10+
Pemproses Qualcomm Snapdragon 855+
Cip 1 x 2.96 GHz Kryo 485
3 x 2.42 GHz Kryo 485
4 x 1.78 GHz Kryo 485
Cip Grafik Adreno 640
RAM 12 Gigabyte
Muatan Dalaman 256 GB, UFS 3.0
Kamera Utama 48MP (lebar) + 8MP (telefoto 3x) + 16MP (sudut ultra lebar)
f/1.6 + f/2.4 + f/2.2, OIS+EIS, 4K 60fps
Kamera Depan 16 Megapixel f/2.0
Bateri 4085 mAh
(Pengecasan pantas Warp Charge 30T)
SIM/Telefoni Dwi SIM nano
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan  Pengimbas cap jari jenis bawah skrin
Harga Jualan RM3,899

OnePlus 7T Pro McLaren Edition menggunakan skrin AMOLED bersaiz 6.67-inci. Ia bukannya AMOLED biasa yang OnePlus gunakan, tetapi adalah Fluid Display 90Hz yang memberikan kemampuan kadar segar semula yang tinggi. Perkara ini secara tidak langsung menjadikan peranti ini rasa pantas, lancar dan benar-benar laju seakan kereta McLaren.

Di bawah skrin ini, terbinanya pengimbas cap jari bawah skrin jenis optikal. Sepanjang tahun 2019 ini, pengimbas cap jari ini adalah yang paling laju pernah saya uji. Ianya tepat, pantas dan jika jari berpeluh ia masih boleh mengimbas (kadang-kala).

Melalui skrin AMOLED baharu yang OnePlus gunakan ini, ia tidak jauh beza pun dengan OnePlus 7 Pro. Masih mempunyai kadar segar semula tinggi 90Hz, jadi setiap tatalan, pergerakan, kawalan gestur atau peralihan animasi – ia sungguh lancar dan memuaskan. OnePlus juga masih mengekalkan keupayaan HDR10+ pada skrin ini, jadi pengalaman menonton video adalah mengasyikkan. Sudahlah tiada takuk, bezel nipis dan dahi/dagu nipis, jadi tidak kira apa jua kandungan – Netflix, YouTube atau Disney+ pengalaman menonton adalah imersif. Kecerahan pula adalah sangat cerah dan tidak kira di mana saya berada, paparan mudah dilihat. Ujian makmal GSMArena menghampiri 600 nits, namun menurut DisplayMate pada OnePlus 7 Pro ia boleh mencapai melebihi 800 nits. Kecerahan ini juga ditetapkan oleh Adaptive Brightness yang menggunakan kecerdasan buatan. Jadi jumlah nits adalah tidak sama.

Untuk cip pemprosesan, peranti ini dijana dengan Qualcomm Snapdragon 855+ dan dipadankan dengan memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB berasaskan UFS 3.0. Walaupun mempunyai spesifikasi yang hebat ini, ia masih belum dapat menandingi cip Apple A13 Bionic yang mana adalah yang paling berkuasa – walaupun peranti iPhone dipadakan dengan memori maksima 4GB sahaja. Tetapi sistem operasi adalah berbeza dan citarasa masing-masing juga berbeza, jadi pendapat saya apa yang OnePlus tawarkan ini sudah lebih dari cukup.

Tiada variasi lain bagi McLaren Edition, kerana ia adalah peranti edisi khas. Jadi OnePlus menawarkan spesifikasi yang paling tinggi. RAM 12GB adalah standard untuk spesifikasi sesebuah peranti mercu, walaupun tiada sokongan kad microSD – storan 256GB yang pantas dan besar ini sebenarnya sudah lebih dari cukup. Jika pengguna ingin RAM yang lebih kecil variasi 8GB RAM ada sahaja dijual di Malaysia, tetapi kenapa?

Dari segi kamera, OnePlus memang terkenal dengan kemampuan rakaman video 4K 60fps yang stabil dan mempunyai kualiti kamera yang boleh diterima. Namun, kali ini OnePlus membawakan kejutan yang sangat memeranjatkan. Hasil kamera kali ini adalah sangat lebih baik. Tetapan kamera OnePlus 7T Pro McLaren Edition adalah 48MP + 8MP + 16MP untuk kamera belakang. Yang mana lensa yang digunakan adalah gabungan lensa lebar, lensa telefoto 3x zum dan lensa sudut ultra lebar. Untuk kamera swafoto, OnePlus menggunakan sistem pop-naik dengan lensa 16MP.

Bateri pada peranti ini adalah 4085mAh dengan sokongan pengecasan pantas Warp Charge 30T. Apa itu 30T? Ia adalah sistem pengecasan pantas 30W yang 23% lebih laju dari 30W yang biasa. Ini juga merupakan kapasiti bateri paling besar dari OnePlus setakat ini. Cuma mengecewakan adalah, sehingga kini OnePlus masih tidak menyertakan pengecesan nirwayar.

Melengkapkan spesifikasi peranti OnePlus ini adalah, sokongan Bluetooth 5.0, NFC dan juga perlindungan kalis percikan. Walau bagaimanapun, kalis percikan yang OnePlus gunakan ini tidak menerima sebarang pensijilan IP dan hanya dakwaan mereka sendiri sahaja. Secara keseluruhan, spesifikasi pada peranti ini amat memuaskan dan cacat cela hanyalah ketiadaan pengecasan nirwayar dan tiada perlindungan IP sahaja.

Rekaan & Pengalaman Penggunaan

Seperti OnePlus 7 Pro, OnePlus 7T Pro meneruskan penggunaan skrin dwi-lengkung. Ia tidak seperti OnePlus 7T yang rata, yang mana pada saya adalah lebih selesa digunakan. Kemudian, skrin dwi-lengkungnya tidak mempunyai lengkungan seakan vivo NEX 3 atau Samsung Galaxy Note 10+. Lengkungannya berada di tahap yang selesa dan tidak akan mengganggu pengalaman penggunaan. Rangka peranti ini adalah aluminium, dan apabila berada di tangan ianya tebal dan sedap digenggam – walaupun peranti ini licin.

Rekaan bezel juga seimbang dan sangat nipis sehinggakan dari satu arah, langsung tidak kelihatan bezel. Walaupun tidak mempunyai lengkungan di bahagian dagu seakan iPhone X ke atas, OnePlus berjaya menipiskan dagunya berkali ganda berbanding iPhone.

Skrin sebesar 6.67-inci membuatkan peranti ini tidak selesa digunakan dengan hanya sebelah tangan. Ya, benar – ini bukan masalah yang besar. Ini kerana majoriti peranti mercun yang berada di pasaran sekarang mempunyai saiz yang setaraf. Saya yakin, majoriti pengguna tidak hirau akan saiz ini dan semua boleh menggunakan peranti dengan dua tangan dengan mudah. Tetapi bagaimana dengan pengguna yang mempunyai tangan yang kecil, seperti gadis-gadis di luar sana? Anda terpaksa pilih OnePlus 7T, kerana OnePlus tidak menyertakan pilihan mengecilkan skrin seperti yang ditawarkan oleh Xiaomi atau iPhone dengan fungsi Reachability.

Sistem sekuriti imbasan cap jari adalah sama sahaja dengan OnePlus 7 Pro. Ini bermakna, amat pantas. Tiada peranti Android lain yang saya gunakan setakat ini mempunyai kepantasan menyahkunci seperti OnePlus. Alternatif lain adalah nyahkunci berasaskan wajah, yang mana juga adalah laju. Tetapi ia tidak begitu selamat dan akan menggunakan kamera swafoto. Tetapi tidak selaju peranti Android lain, kerana kamera swafoto adalah jenis pop-naik. Tapi yang menarik, tidak kira menegak atau melintang ia boleh sahaja mengecam wajah. Ehem, ehem… Apple.

Terdapat bonjol kamera pada peranti ini, tetapi rekaan sama dengan OnePlus 7 Pro jadi tidak mengejutkan. Tetapi, bonjol tetap bonjol dan lensa dilindungi dengan kaca. Jadi, untuk keselamatan gunakan sahaja kerangka pelindung dan syukur dalam kotak edisi McLaren ini – kerangka pelindung tahan lasak sudah disediakan. Kerangka ini mempunyai kemasan gentian aramid dan fabrik Alcantara. Ia adalah kerangka jenis bumper penuh seperti bumper lain yang OnePlus jual. Selesa di tangan tetapi sedikit tebal.

Rekaan kamera OnePlus ini adalah klasik, kerana sekarang adalah bonjol bulat atau segi empat. Jadi, susunan kamera ini kelihatan sedikit ketinggalan. Syukur, bonjol yang digunakan tidak begitu tebal dan boleh diterima. Disebabkan tiada kamera periskop yang digunakan, pendapat saya OnePlus patut tebalkan sahaja panel belakang dan jadikannya rata. Saya yakin ramai akan gemar dan rasa lebih selesa.

Butang kuasa dikekalkan pada sisi kanan dan di atasnya terdapat Alert Slider iaitu suis notifikasi seakan iPhone. Seperti biasa, suis OnePlus ini ada tiga laras iaitu bunyi, getar dan senyap. Di sisi kiri pula terdapat butang aras suara dan butang-butangnya diperbuat daripada logam dan selesa untuk ditekan. Saiznya juga ngam-ngam sahaja dan mudah dicapai. Cuma kadangkala, mudah keliru di mana butang aras suara dan di mana pula suis notifikasi. Walaupun pada suis tersebut ada tekstur, saya tetap masih keliru. Itu mungkin adalah masalah dari diri saya sendiri. Talam kad SIM pula berada di bahagian bawah dan ia menyokong dwi-SIM nano. Ada sokongan eSIM, tetapi hanya untuk tujuan melancong kerana eSIM yang ditawarkan adalah dari OnePlus sendiri dan pelannya khusus pelan roaming jadi harganya mahal.

Port pengecasan USB-C terletak pada bahagian bawah bersama-sama dengan talam SIM tadi dan kekisi pembesar suara. Walaupun kekisi hanya satu, pembesar suaranya adalah stereo, ianya lantang dan kuat kerana dioptimasikan oleh Dolby Atmos. Kekisi lagi satu adalah pada bahagian atas peranti berdekatan antara skrin dan rangka.

Untuk kemudahan pengguna, port USB-C pada peranti ini juga menyokong OTG untuk pemindahan data antara pemacu ibu jari ke peranti. Selain itu, OnePlus juga menyertakan sokongan pengecasan pantas berasaskan Power Delivery 15W. Ia tidak begitu pantas, cuma kini dengan mana-mana pengecas USB-PD pengguna boleh mengecas peranti ini tanpa memudaratkan kesihatan bateri.

Oxygen OS Adalah Android Asli Sebenar

OnePlus 7T Pro McLaren Edition adalah antara peranti terawal menerima Android 10, sebelum Pixel 4. Sistem operasi yang OnePlus gunakan adalah Oxygen OS 10, yang mana sehingga hari ini ramai masih menganggap Oxyen OS ini adalah sistem operasi Android asli yang lebih baik berbanding dengan Android asli sebenar yang digunakan pada Pixel.

Oxygen OS ini hanya diperkenalkan pada tahun 2015, iaitu setahun selepas OnePlus One. Semasa OnePlus 2 dan OnePlus X, OnePlus tidak lagi menggunakan ColorOS dan CyanogenMod tetapi sebaliknya mula menggunakan Hydrogen OS dan Oxygen OS. Ketika itu, Oxygen OS sudah pun terkenal sebagai sistem operasi yang paling ringkas dan menghampiri Android asli. Bezanya adalah, Oxygen OS menawarkan pilihan kustomasi yang lebih banyak dan pengguna boleh ubahsuai mengikut citarasa masing-masing.

Dengan pengenalan Oxygen OS 10, ia lebih selari dengan Android 10. Banyak fungsi yang terhad pada Pixel, OnePlus hadir dengan versi alternatif bagi menawarkan kepada pengguna mereka. Oxygen OS juga sama seperti mana-mana sistem operasi, pasti akan ada pepijat. Mana ada sistem operasi yang 100% stabil dan berfungsi sepenuhnya tanpa sebarang masalah. Sistem operasi tersendiri OnePlus juga merupakan sistem operasi paling pantas yang menerima kemaskini. Ada pernah sekali, kemaskini tampalan sekuriti bulanan hadir pada OnePlus dahulu sebelum Pixel.

Apa pula yang menarik kali ini pada Oxygen OS 10?. Sudah tentu, selari dengan trend sekarang adalah mod gelap atau tema gelap. Dengan mod ini pada peranti OnePlus 7T Pro McLaren Edition, penggunaan bateri akan lebih jimat kerana skrin AMOLED. Sudah tentu, kawalan gestur penuh seakan gabungan iPhone X dan Xiaomi kini diperkenalkan. Kawalan ini adalah sangat lancar dan pantas.

Keseluruhan antaramuka ini akan dicam oleh pengguna OnePlus dan juga pengguna Pixel. Cuma, lebih banyak tetapan didedahkan dan mudah diakses oleh pengguna. Kali ini OnePlus menawarkan kemampuan mengubah tema secara keseluruhan sistem, seperti mana yang pernah diperkenalkan pada CyanogenMod. Fungsi ini amat mengimbau kembali zaman menggunakan OnePlus One. Ohhh.. rindunya dengan peranti itu. Oh ya, lupa untuk saya sebut yang peranti ini mempunyai resolusi skrin QHD+. Pengguna boleh mengubah resolusi ini kepada FHD+ dan juga mencantikkan lagi skrin dengan pilihan peningkatan kualiti video yang disertakan.

Di bahagian ultiliti dalam tetapan, pengguna boleh mengaktifkan pelbagai fungsi menarik yang berbaloi untuk dicuba. Contohnya akses pintas untuk pelbagai fungsi atau aplikasi kegemaran melalui imbasan cap jari, mengklonkan aplikasi bagi menggunakan dua akaun berbeza seperti Facebook dan WhatsApp dan juga loker aplikasi bagi mengunci aplikasi dan hanya boleh diakses melalui imbasan cap jari. Untuk mereka yang mudah pening kepala, OnePlus juga menawarkan fungsi pemalapan DC yang boleh diaktifkan dalam tetapan makmal OnePlus. Fungsi ini walau bagaimanapun, akan merendahkan resolusi skrin dan setiap pixel berkemungkinan besar mudah dilihat.

Terdapat banyak lagi pilihan mengubahsuai, yang mana jika saya tulis kesemuanya pasti tidak tiada siapa akan membaca. Fungsi lain yang menarik patut saya beritahu adalah penggalak RAM, yang mana akan meningkatkan penggunaan RAM bagi menaik taraf prestasi peranti. Selain itu adalah mod landskap, yang boleh membenarkan pengguna mempunyai kemampuan membalas mesej dengan mudah. Digital Wellebing mempunyai kemampuan yang sama dengan Pixel dan Zen Mode pula akan membantu pengguna kawal terhadap obsesi penggunaan peranti. Tidak dinafikan yang Oxygen OS adalah antara sistem operasi terbaik dan sukar untuk saya cari cacat celanya.

Kenapa Masih Tri-Kamera?

Yang lain sudah mula menggunakan kuad-kamera, penta-kamera, tetapi OnePlus dengan selamba kekal dengan tri-kamera. Tri-kamera utama 48MP f/1.6 + 12MP f/2.4 + 16MP f/2.2 yang menggunakan lensa sudut lebar biasa, lensa telefoto 2x zum dan lensa sudut ultra lebar. Kelebihan tambahan adalah, ketiga-tiga lensa menyokong rakaman gambar makro. Setakat ini, ini adalah satu-satunya peranti Android yang berjaya membuat hasil imej sudut ultra lebar yang baik – dari segi warna, prestasi dan peralihan lensa.

Aplikasi kamera OnePlus Camera adalah ringkas dan mudah difahami. Terdapat banyak fungsi disertakan seperti mod potret, Nightscape, rakaman gerak perlahan, panorama dan banyak lagi. Oh ya, ia juga menyokong kawalan manual penuh dan menawarkan pelbagai tetapan termasuk long exposure.

Sudah semestinya, kamera OnePlus ini masih kekal dengan kebolehan rakaman video 4K yang stabil. Warna juga amat menarik. Cuma, sayang sekali sehingga hari ini kualiti audio apabila merakam video masih lagi teruk dan tidak sehebat dengan peranti seperti Mi Note 10, Pixel atau iPhone. Disebabkan peranti ini menggunakan kamera swafoto pop-naik, OnePlus turut sertakan sistem perlindungan yang mana apabila peranti terjatuh – modul kamera akan tertutup dengan sendiri berserta dengan notifikasi amaran.

Kualiti Kamera Terhebat?

Dalam ulasan OnePlus 7 Pro, tidak mendapat skor yang begitu tinggi. Hasil gambar masih kurang memuaskan dan nilai HDRnya terlampau terang dan kadang-kala setiap gambar yang diambil mempunyai kesan penuras berwarna jingga. Namun pada OnePlus 7T Pro ini, hasilnya dilihat menjadi lebih baik.

Warna pada imej lebih pop, setiap butiran tekstur pada objek seperti rambut dan kulit jelas kelihatan. Sampel gambar swafoto di bawah adalah dari kamera peranti ini dan jika anda lihat sendiri – ia adalah satu imej yang berkualiti tinggi. Bukan itu sahaja, lihat latar belakang, nilai kedalaman untuk imej mod potret memang jelas dan realistik. Namun, kamera swafotonya tidak mempunyai auto-fokus – jadi imej kadang-kala tidak mempunyai fokus yang baik.

Sayu pujian untuk OnePlus kerana, zum digital pada peranti ini sudah bertambah baik dan menghampiri kehebatan zum digital yang Pixel 4 boleh lakukan. Kualiti zum digital peranti ini mempunyai butiran yang baik, warna yang boleh diterima dan memang berada di luar jangkaan. Fokus OnePlus bukannya pada zum, jadi saya tidak boleh bandingkan dengan peranti dengan kamera periskop seperti Huawei P30 Pro.

Gambar ultra sudut lebar adalah salah satu hasil gambar yang membuatkan saya rasa terkejut. Siapa sangka peranti OnePlus, boleh mengambil gambar sudut ultra lebar hampir tiada herotan? Hasilnya memang memberangsangkan. Tidak kira dalam keadaan banyak cahaya atau kurang cahaya seperti di waktu malam, hasilnya memang kemas, warna yang baik serta butiran yang jelas.

Kelemahan OnePlus adalah masih pada mod malam, atau apa yang OnePlus namakan adalah Nightscape. Sehingga hari ini, pendapat saya tiada yang boleh lawan mod malam Pixel melalui Night Sight atau juga mod malam pada Huawei P30 Pro dan ke atas. Malah, Apple juga akhirnya mampu meletakkan mod malam dalam iPhone 11.

Apa yang terdapat pada peranti OnePlus ini, ia lebih kepada gambar yang gelap diterangkan dan menambah penuras HDR. Jadi hasil mod malam masih tidak baik atau setaraf dengan peranti mercu lain. Akan tetapi, OnePlus juga ada menawarkan mod long exposure di tetapan untuk mengambil gambar pada waktu malam yang lebih terang, tetapi tripod diwajibkan untuk mod ini berfungsi.

Kelebihan tambahan pada OnePlus 7T Pro McLaren Edition dan semua peranti OnePlus 7T adalah mod makro. Mod ini dilihat menjadi trend sekarang, ada jenama yang meletakkan lensa makro – tetapi OnePlus hanya menggunakan lensa mereka sahaja. Ketiga-tiga lensa mereka boleh merakam gambar makro. Sampel di bawah ini adalah lalat yang terperangkap, lalat ini boleh dilihat dengan terperinci dan mempunyai resolusi yang tinggi.

Gambar makro perlu diambil dengan jarak 2.5cm, namun apabila saya mencuba ambil dengan jarak yang lebih dekat – ia tiada masalah dan masih boleh fokus.

Di bawah saya sertakan lagi beberapa hasil gambar dari peranti OnePlus ini. Anda boleh nikmati dan hayati keindahan imej dari OnePlus. Jika anda tertanya, kenapa ada beza dengan OnePlus 7 Pro sedangkan spesifikasi kamera adalah sama sahaja – saya sendiri tidak pasti. Peranti OnePlus 7 Pro masih tiada mod makro, tetapi peranti-peranti OnePlus 7T ada mod makro. Jadi konklusi saya di sini adalah, OnePlus menggunakan perisian untuk meningkatkan kehebatan kamera peranti.

This slideshow requires JavaScript.

Pembesar Suara Dolby Atmos, Gimik Atau Benar?

Sehingga hari ini, pembesar suara OnePlus masih tidak dapat menandingi mana-mana peranti mercu seperti Samsung, iPhone atau Pixel. Namu, jika kita banding dengan peranti mercu Android lain yang ada pembesar suara stereo, kualiti audio pada OnePlus memang lain daripada yang lain. Tetapi, kualitinya memang enak didengar dan tidak pecah atau bingit apabila aras suara ditetapkan adalah yang paling tinggi.

Pembesar suara peranti OnePlus 7t Pro McLaren mengekalkan sistem yang dioptimasikan oleh Dolby Atmos seperti OnePlus 7 Pro. Mendengar muzik di Spotify atau YouTube Music memang enak. Dari segi bass ia mempunyai dentuman yang dalam, vokal yang baik dan secara keseluruhan memberikan pengalaman yang baik. Kemudian, disebabkan peranti ini menggunakan Bluetooth 5.0 dan juga cip Qualcomm – ia menyokong LDAC dan aptX HD untuk aksesori audio nirwayar.

Prestasi Permua & Tugasan Harian

Markah tanda aras hanyalah rujukan semata-mata. Jadi apa yang dipaparkan kadang-kala tidak sama dengan prestasi di dunia nyata yang kita sebagai pengguna alami. Umum sedia maklum yang cip pemproses Apple A13 Bionic adalah yang paling berkuasa. Skor tanda aras cip ini di AnTuTu adalah 470, 297 dan di Geekbench 5 adalah 1335 untuk satu teras dan 2953 untuk multi-teras. Tetapi Snapdragon 855+ yang digunakan pada OnePlus 7T Pro McLaren Edition mendapat skor 477008 di AnTuTu, 774 untuk satu teras dan 2618 untuk multi-teras di Geekbench 5.

Sepanjang penggunaan peranti ini, tiada langsung masalah sela masa apabila menatal di skrin. Ini adalah terima kasih kepada skrin kadar segar semula tinggi 90Hz dan juga kehebatan Oxygen OS 10. Setiap tatalan dan peralihan animasi memang langsung tiada sela masa. Membuka aplikasi, menutup atau menukar memang lancar, pantas dan segalanya menggembirakan hati saya.

Walaupun RAM yang digunakan adalah tinggi iaitu sehingga 12GB, ia masih tidak mempunyai pengurusan RAM yang baik. Sudahlah ada pilihan RAM booster, penggunaan RAM peranti ini mencapai lebih 6GB walaupun peranti tidak digunakan dan tiada aplikasi latar yang dahsyat berjalan. Syukur 12GB RAM, jadi ada baki 6GB lagi. Bayangkan kalau RAM hanya 8GB, pasti akan ada masalah lengah masa. Peranti ini juga memang hebat dalam tujuan multi-tugasan, membuka dua aplikasi serentak atau sambil menonton video sambil membalas mesej – memang hebat.

Bermain permua pula adalah seakan menggunakan peranti gaming. Siapa kata kita perlukan Asus ROG Phone 2, Black Shark 2 Pro atau Nubia Red Magic 3s untuk bermain permua? OnePlus 7T Pro McLaren Edition ini sudah cukup hebat. Bayangkan, sepanjang bermaina Call of Duty: Mobile dan Asphalt 9 – peranti ini tidak mempunyai masalah memanas yang serius dan semuanya berjalan dengan lancar. Lebih hebat, peranti ini boleh berfungsi dengan baik jika bermain permua sambil mengecas peranti.

Jangka Hayat Bateri

OnePlus sejak OnePlus One lagi adalah raja bateri dalam penggunaan harian. Saya masih ingat, beberapa tahun lepas semasa menggunakan OnePlus One sehingga OnePlus 3T, bateri sehari 7-8 jam SOT  memang tiada masalah jika tidak bermain permua. Kemudian jika bermain permua masih boleh bertahan 6-7 jam SOT. Dengan kombinasi skrin Fluid Display 90Hz, AMOLED sehingga QHD+ ini memang akan memakan bateri dengan dahsyat. Ini memang sudah dijangka, kerana peranti ini akan banyak menggunakan kuasa. Tetapi, 5 jam SOT memang tiada masalah untuk skrin seperti ini.

Bateri 4085mAh ini memang membantu peranti ini bertahan sepanjang hari atau kadangkala cecah 1 hari setengah. Jika saya tukar resolusi ke FHD+ dan masih mengekalkan 90Hz, bateri adalah sekitar 6 jam SOT yang mana memberi tambahan 1 jam. Tempoh pengecasan dari 8% – 91% adalah sekitar 45 minit dan untuk mencapai ke 100% akan ambil masa sekitar 15 minit lagi. Tetapi ada situasi, dari 0%-100% hanya 1 jam sahaja. Ia akan mengikut keadaan peranti, seperti suhu, RAM dan sebagainya.

Pengecas yang peranti ini gunakan adalah Warp Charge 30T. Ia adalah 25% lebih pantas dari Warp Charge 30, yang mana kedua-duanya adalah 30W.

Pesaing

OnePlus kini menggelar diri mereka sebagai peranti premium, tetapi masih tiada ciri-ciri premium seperti pesaing iaitu pengecasan nirwayar atau perlindungan kalis air IP68. Apa-apa pun, pesaing yang boleh saya bandingkan dengan OnePlus 7T Pro McLaren Edition ini adalah iPhone 11 Pro Max dan Samsung Galaxy Note 10+.

Peranti Pesaing
Samsung Galaxy Note 10+ iPhone 11 Pro Max OnePlus 7T Pro McLaren Edition
6.8″ QHD+
Dynamic AMOLED HDR10+ (498 ppi)
6.5″ 1242 x 2688 pixel
OLED Super Retina XDR, HDR10
6.67″ 3120 x 1440  pixel
90Hz Fluid Display AMOLED, HDR10+
Exynos 9825
2 X 2.73 GHz Mongoose M4
2 X 2.4 GHz Cortex A75
4 X 1.9 GHz Cortex A55
A13 Bionic
2 X 2 .65 GHz Lightning
4 X 1.8 GHz Thunder
Snapdragon 855+
1 x 2.96 GHz Kryo 485
3 x 2.42 GHz Kryo 485
4 x 1.78 GHz Kryo 485
Mali-G76 MP12 Apple GPU Adreno 640
12 Gigabyte 4 Gigabyte 12 Gigabyte
Sehingga 512GB UFS 3.0
(mikro SD sehingga 1TB)
64/256/512GB 256 Gigabyte
12+12+16+3D TOF Megapixel.
f/1.5+f/2.2+f/2.1, OIS, HDR
12+12+12 Megapixel.
f/1.8+f/2.4+f/2.0, OIS, 2X zum optikal
Kamera Utama 48+16+8 Megapixel (f/1.6+f/2.2+f/2.4), OIS, PDAF, Zum Optikal 3X
10 Megapixel f/2.2 12 Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 16 Megapixel f/2.0
IP68 IP68 Tiada
4300 mAh
Pengecas berwayar 45W
Tanpa wayar 15 W
3969 mAh
(Pengecasan pantas 18W + Nirwayar Qi)
4085mAh (Warp Charge 30T)
Bermula dari RM4199 Dari RM5,299 RM3,899

Kesimpulan

Ini adalah peranti OnePlus 7T Pro McLaren Edition adalah peranti OnePlus paling sempurna, walaupun ada beberapa kekurangannya. Sepatutnya, OnePlus patut lancarkan peranti ini dari awal lagi dan bukannya bermula dengan OnePlus 7T atau OnePlus 7T Pro. Skrin melengkung yang cantik dan hebat, yang mana lengkungannya tidak begitu dalam, kadar segar semula 90Hz yang sangat lancar dan pengalaman penggunaan skrin yang sangat imersif. Tidak lupa juga yang skrin peranti ini mempunyai pengiktarafan HDR10+. Perghhh, mantap bukan?

Oh ya, prestasi adalah yang paling baik setakat ini dalam semua peranti mercu. Saya sudah cuba Huawei, Samsung, Pixel dan iPhone – saya tidak jumpa lagi peranti yang mempunyai kepantasan dan sangat lancar seperti OnePlus ini. Kamera dan bateri juga memang baik, peranti ini cemerlang dalam kedua-duanya dan akhirnya mampu bersaing menghampiri dengan pesaing-pesaing lain.

Bateri 4085mAh memberikan hayat penggunaan yang dalam pengalaman saya tiada peranti yang mempunyai kestabilan bateri seperti peranti. Ingat, peranti ini ada 90Hz dan QHD+! Ya, benar peranti lain sudah ada sistem pengecasan pantas sehingga 65W, tetapi 30T yang berasaskan 30W ini sudah memuaskan. Jika itu tidak cukup, bagi mereka yang gemar merantau peranti ini juga menyokong sistem USB-PD 15W.

OnePlus 7T Pro McLaren Edition ini adalah peranti OnePlus yang paling mahal setakat ini. Di negara luar, peranti ini dikategorikan sebagai peranti mercu dengan harga sebuah peranti kelas pertengahan premium. Jadi ianya berbaloi. Tetapi di Malaysia, harganya amat mahal dan harga peranti Samsung Galaxy Note10+ yang serba lengkap dengan pelbagai fungsi dan ciri boleh dibeli dengan harga yang jauh lebih murah. Jadi, perbandingan yang boleh saya berikan adalah, OnePlus 7T Pro McLaren Edition ini adalah alternatif untuk mereka yang minat dengan Google Pixel 4 XL. Pixel tidak dijual di Malaysia secara rasmi, dan Oxygen OS yang digunakan pada peranti ini adalah yang paling dekat dengan Android asli.

Harganya rasmi di Malaysia adalah RM3,899. Berbanding dengan iPhone 11 Pro Max atau Google Pixel 4 XL yang mahal dan menghampiri RM5K, OnePlus ini adalah pilihan terbaik.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Cip pemprosesan yang berkuasa
  • Bahan binaan kaca yang premium dengan rekaan unik
  • Prestasi yang sangat lancar dan pantas
  • Kemampuan fotografi yang berada di luar jangkaan bagi satu jenama kecil (berbanding pesaing)
  • Ketahanan bateri yang hebat
  • Kualiti audio dalam rakaman video masih tidak sedap
  • Tiada perlindungan IP
  • Tiada pengecasan nirwayar
  • Harga sedikit lebih mahal di Malaysia

Komen