Cari @ Amanz

Zack Nelson dari saluran YouTube JerryRigEverything telah mempopularkan peranti dengan rekaan panel belakang lutsinar. HTC dan Xiaomi turut memperkenalkan peranti mercu mereka dengan panel belakang yang lutsinar (atau semi?). Bagi peranti lain pula, setiap modifikasi yang dilakukan akan mengakitbatkan peranti hilang jaminan, tidak lagi kalis air/percikan dan disebabkan lapisan cat di dalam sudah dikikis – ia akan lebih mudah retak atau calar akan mudah terpapar.

Oleh yang demikian, Zack bekerjasama dengan Dbrand bagi menghasilkan pelekat vinil yang memperlihatkan segala komponen peranti dari panel belakang. Pelekat vinil ini diberi nama “Teardown” dan dikatakan setiap posisi komponen adalah 99% tepat. Untuk kemasan, Dbrand menggunakan kemasan berkilat yang mana adalah seakan panel kaca di belakang peranti dibuang lapisan catnya. Mereka juga menjanjikan kemasan yang selesa apabila memegang peranti.

Ini bukannya kali pertama pelekat vinil seperti ini dijual kepada umum. Tahun lepas, Slickwraps sudah pun menghasilkannya. Namun, posisi adalah tidak begitu tepat dan warna juga adalah tidak begitu menarik. Melalui pelekat vinil “Teardown” oleh Zack dan Dbrand ini, ia akan menjanjikan satu pengalaman yang lain daripada yang lain.

Pelekat ini juga berjaya dihasilkan dengan pengimbas imej bernilai lebih RM380,000 untuk hasil yang realistik. Harga jualan adalah $19.95 untuk iPhone, Samsung, OnePlus dan Nintendo – iaitu sekitar RM85. Ia hanya akan dijual dalam masa satu minggu sahaja. Oh ya, setiap pelekat ada perkataan rahsia disembunyikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd