Cari @ Amanz

Bagi yang mengikuti perkembangan arena rangkaian 5G, semestinya anda mengenali akan dua variasi rangkaian berkenaan, iaitu berbentuk kendiri (SA) dan juga bukan kendiri (NSA).

Secara ringkasnya, untuk variasi rangkaian 5G bukan kendiri (NSA), ia akan dibangunkan dengan bantuan infrastruktur rangkaian 4G sedia ada, sekaligus membolehkan rangkaian dibangunkan dengan lebih pantas dan pada kos yang rendah. Sementara untuk rangkaian kendiri pula, ia dibangunkan khusus untuk 5G semata-mata, sekaligus menawarkan sejumlah kelebihan lain – terutamanya kadar pendam (latency) yang lebih rendah, selain kapasiti lebih luas melaluinya.

Bercakap mengenainya, kini Telekom Malaysia mengatakan mereka ingin mempertontonkan sokongan rangkaian 5G SA mereka kepada umum tidak lama lagi melalui demo yang dijadualkan pada 5 Disember di Langkawi.

TM mengatakan mereka ingin menguji sejumlah perkara melalui demo berkenaan, termasuk implementasi teras 5G berasaskan NSA dan SA pada satu platform sama.

Buat masa ini, TM telah mulakan ujian 5G mereka di Subang Jaya dalam menguji ciri seperti lampu isyarat pintar, dan beberapa penyelesaian untuk bandar pintar.

Pada masa yang sama juga, TM turut menekankan yang mana mereka terbuka untuk turut bekerjasama dengan pelbagai syarikat telekomunikasi lain untuk projek-projek demo mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd