Cari @ Amanz

Bagi yang tidak tahu, MyGroser adalah perkhidmatan terkini di Malaysia untuk pengguna membeli barangan runcit secara atas talian. Ia dilancarkan sekitar dua bulan lalu dan boleh dikatakan pesaing kepada Happy Fresh atau Grab Mart. Terkini di MyGroser, mereka telah mengumumkan perkhidmatan baharu – MyFeast.

MyFeast adalah program dari MyGroser yang membenarkan pengguna membeli bukan sahaja barangan runcit, tetapi juga makanan yang sedia di makan. Fokus MyFeast ini adalah untuk musim perayaan atau sambutan seperti Hari Krismas akan datang atau sambutan ulang tahun. Pengguna boleh membuat pra-tempahan dan menjadualkan tarikh dan masa penghantaran bagi memudahkan lagi tugasan di musim perayaan. Contoh makanan yang boleh dipra-tempah adalah ayam belanda panggang.

Selain itu, MyFeast juga akan menawarkan lebih 250 barangan khusus untuk musim perayaan, bahan-bahan mentah premium seperti daging lembu Wagyu, salmon, diskaun sehingga 40%, ganjaran untuk setiap pembelian dan penghantaran setiap hari tidak kira cuti atau tidak. Buah-buahan segar seperti pir Nikkori dari Jepun turut ditawarkan.

MyGroser menjamin yang pengguna tidak perlu risau dengan barangan kehabisan stok. Pengguna juga tidak perlu risau lagi dengan masalah mencari parkir atau parkir mahal ketika pergi ke pasar raya. Ini kerana semuanya hanya dengan satu aplikasi dan amat mudah untuk membeli barangan runcit. MyGroser juga membenarkan pengguna membuat pra-tempahan seawal 30 hari sebelum dihantar kepada pengguna. Dengan tempahan awal, harga akan kekal tidak kira jika harga pasaran semasa sudah meningkat.

Buat masa ini MyGroser hanya boleh digunakan oleh pengguna di kawasan Klang Valley. Tetapi, kawasan yang mereka membuat penghantaran adalah lebih meluas berbanding pesaing.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd