Tablet Microsoft Surface Pro X Akan Tiba Di Pasaran Tempatan Pada Awal Tahun Hadapan

Tablet Microsoft Surface Pro X Akan Tiba Di Pasaran Tempatan Pada Awal Tahun Hadapan

Diterbitkan pada Dis 10, 2019 oleh .

Selain daripada melancarkan peranti-peranti Microsoft Surface Pro 7 dan Surface Laptop 3 untuk pasaran tempatan, pihak Microsoft Malaysia turut menunjukkan sebuah lagi peranti Surface yang diumumkan beberapa bulan lalu, iaitu Microsoft Surface Pro X.

Surface ProX hadir dengan skrin PixelSense 13 inci, menawarkan rekaan dua-dalam-satu yang membolehkan ia digunakan sebagai tablet atau komputer. Microsoft juga mengatakan ia menawarkan rekaan yang nipis dan ringan, selain turut dilengkapi sokongan USB-C dan integrasi sokongan LTE.

 

Satu perbezaan ketara yang dapat dilihat  dari segi spesifikasi ialah komponen yang digunakan untuk menjana tablat Surface Pro X ini. Menguasakannya ialah sebuah cip pemprosesan ARM yang dinamakan Surface SQ1 yang dibangunkan oleh Microsoft dengan kerjasama Qualcomm.

Dalam pada itu, peranti Surface Pro X ini juga hadir dengan papan kekunci Surface khusus yang mempunyai kebolehan untuk mengecas aksesori Surface Pen secara nirwayar.

Dari segi sistem operasi, tablet yang diperlihatkan sewaktu acara pelancaran peranti Surface menggunakan Windows 10 Pro 64-bit. Apabila ditanya mengenai kebolehannya untuk memasang perisian yang dimuat-turun dari luar Microsoft Store, jurucakap Microsoft berkata perkara tersebut masih tidak boleh dilakukan buat masa ini.

Microsoft Malaysia juga mengesahkan bahawa peranti Surface Pro X ini akan memasuki pasaran tempatan pada awal tahun hadapan, kebarangkalian seawal Januari 2020 kelak. Buat masa ini, tanda harga untuk tablet tersebut masih belum diketahui.



TIPS & ULASAN