Trend peranti 5G akan menjadi ikutan bermula Disember ini sehinggalah tahun hadapan. Xiaomi akan hadir dengan Redmi K30 5G, manakala Oppo pula dengan Reno3 5G. Untuk Realme, mereka akan hadir dengan Realme X50 5G. Menurut ura-ura, ia akan menggunakan skrin 6.44″ AMOLED, 90Hz, sistem kuad-kamera utama dan kamera swafoto dwi-lensa. Bateri adalah 4500mAh dengan sokongan pengecasan pantas SuperVOOC baharu dan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman 256GB.
Hari ini, Realme sudah mengesahkan yang peranti mereka akan dijana dengan Snapdragon 765G yang baru sahaja dilancarkan minggu lepas. Cip ini akan memberi sokongan rangkaian 5G SA & NSA pada peranti Realme. Secara tidak langsung, peranti ini akan bersaing dengan Redmi K30 5G akan datang. Harga juga pasti akan mahal. Ini kerana, jika Xiaomi sudah berani menjual peranti kelas pertengahan Mi Note 10 pada harga lebih RM2000 – tidak hairan jika peranti 5G mereka juga akan mahal.
Oleh yang demikian, Realme dilaporkan akan menawarkan Realme X50 Youth Edition. Ia juga akan menyokong rangkaian 5G, tetapi cip pemprosesan adalah MediaTek MT6885. Skrin pula adalah LCD dan kamera utama adalah kuad-kamera. Swafoto hanya satu lensa, tetapi bateri adalah 5000mAh dengan sistem pengecasan pantas yang mungkin sama. Memori pula terhad kepada 6GB RAM maksima dan storan dalaman hanya 128GB.
Peranti-peranti 5G ini mungkin akan dilancarkan pada penghujung tahun ini dan mula dijual pada Januari 2020. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi kelak.